KUALA LUMPUR - Setelah berabad lamanya masalah kesesakan di ibu kota berpanjangan, akhirnya jalan penyelesaiannya ditemui juga dengan mengurangkan bilangan ruang meletak kereta di bandar raya ini bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohon, idea itu adalah untuk mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
"Kami sedang mengkaji rancangan untuk mengurangkan ruang meletak kenderaan secara menyeluruh dari segi kesannya dan akan melaksanakannya selepas selesai pembinaan Jajaran 1 projek Mass Rapid Transit (MRT) pada 2017 kelak," katanya.
Rancangan itu juga termasuk mengenakan kadar caj tempat letak kenderaan yang lebih tinggi dan kos pembangunan yang lebih tinggi untuk tempat meletak kereta.
Projek seperti MRT dan Light Rail Transit (LRT) membolehkan orang ramai bergerak tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas. - THEHYPEMEDIA