Persepsi orang kita tentang usahawan.
Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan berjawatan pegawai. Lama saya bekerja, lebih 15 tahun sebelum berniaga sepenuh masa.
Bila mula berhenti kerja, beberapa rakan yang pernah bersekolah sama, rakan kampung dan rakan sejawat dulu terjumpa saya sekali sekala berniaga di pasar malam dan pasar tani.
Mereta terkejut dan bertanya mengapa saya jadi begini? Mereka mula bersimpati pada saya.
Sedangkan persepsi mereka terhadap saya pada ketika itu kabur dan ternyata mereka silap. Ada yang bertanya, "Apa dah jadi sekarang Bahar?".
Saya tersenyum sahaja dan faham dengan apa yang mereka cuba sampaikan. Mereka hairan, mengapa seorang pegawai yang duduk di kerusi empuk dan mempunyai pegawai bawahan yang ramai memilih untuk menjaja di tepi jalan sahaja.
Saya tidak malu, saya sedar yang ramai orang tidak faham tentang orang berniaga. Ramai yang kasihan dengan saya bila terlihat saya menjaja. Mereka menanggap teruk sangat menjaja ini.
Kami penjaja mencari rezeiki yang halal. Kami berniaga tidak meminta sedekah. Kami bekerja kuat untuk minat dan impian kami semua.
Itu sebabnya saya beremosi bila ternampak rakan penjaja ditarik gerai mereka atau diganggu oleh majlis perbandaran. Mereka baru saja mahu berniaga, sementara mereka maju untuk mendapatkan kedai yang lebih sesuai, janganlah dikacau mereka tetapi bantulah mereka.
Ada orang yang menganggap jika berniaga di jalanan ini adalah kelas rendah. Ada yang lebih teruk menganggap perniagaan ini sama dengan kejatuhan dan kegagalan. Jatuh bangun itu lumrah dalam perniagaan. Saya tidak menafikan yang ramai peniaga yang jatuh termasuk saya sendiri pernah menghadapi pengalaman itu. Tetapi itu semua adalah pengalaman dan hanya sementara.
Bangunlah dan perbetulkan apa yang salah dan terus berlari dengan lebih gagah.
Nasihat untuk rakan yang berniaga, fikiran kita, tidur kita, makan kita semua perlu tukar menjadi seorang usahawan. Jangan berfikiran negatif dan positifkanlah minda anda. Jangan mudah mengaku kalah dan lemah semangat dengan perlikan, ejekkan dari sesiapa sahaja. Teruskanlah berusaha setiap hari.
Berazamlah untuk maju. Biarlah kecil-kecil tetapi berhasil. Mulakan terus dengan tindakan anda yang positif. Apa yang anda perlu lakukan hari ini menggambarkan apa yang akan anda capai pada esok hari. Cari formula yang betul dalam perniagaan dan terus tambahkan lagi ketaqwaan kita pada Allah yang Maha Esa.
Satu hari nanti anda pasti akan berjaya. Pada masa itu, mereka yang melarikan diri dari anda pasti akan datang semula. - Baharuddin Mohamed | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA