Kisah benar: Hikayat sebuah troli yang 'malang'
Saya sedar dengan perasaan was-was ramai rakan Muslim di Malaya (tidak di Sabah dan Sarawak, juga tidak di luar negeri) terhadap sebarang urusan (encounter) dengan daging babi.
Apakah kebarangkalian sebuah troli yang digunakan untuk membawa makanan tidak halal boleh meninggalkan sisa-baki tidak halal itu kepada pengguna Muslim yang menggunakan troli yang sama?
Untuk mendapat kebenaran, maka daripada membeli daging babi dari pasar basah seperti biasa, saya sengaja pergi hypermarket untuk membeli.
Berikut adalah laporan bergambar saya tentang risiko penyebaran elemen 'tidak halal' itu. Saya berharap ini menjadi rujukan berguna kepada rakan-rakan Muslim yang ingin mencari kebenaran. Sudah pasti, hampir semua orang Muslim tidak akan masuk ke dalam bahagian tidak halal dan faham bagaimana daging babi dijual.
Pohon kongsikan (SHARE) untuk melawan kejahilan dan fahaman asabiyah.
Ini bahagian tidak halal - Ia tertutup maka udara di luar dan di dalam pun terpisah kecuali bila pintu dibuka.
Ini tulang babi yang saya pilih. Ia dibalut dalam plastik dan luarnya kering. Risiko? Kalau takut permukaan plastik itu mempunyai sisa-baki daging, maka tangan saya pasti membawa risiko.
Si jurujual membalutnya dengan sebuah beg plastik. Ini praktis piawaian. Sekalipun di Pulau Pinang di mana pembeli kena membayar untuk beg plastik, pembeli daging babi dapat beg plastik percuma. Risiko? Tangan jurujual menyentuh lapisan plastik itu, seperti tangan saya.
Saya membayar dengan tunai dan menerima bakinya daripada jurujual. Risiko? Tinggi. Wang yang bertukar tangan itu mungkin datang dari mana-mana saja, termasuk mereka yang baru menyentuh daging babi.
Saya mengambil keluar dua beg plastik yang mengandungi tulang babi dan sayur-sayuran masing-masing dari troli 'malang' itu.
Kesimpulan: Risiko untuk troli terkena sisa-baki daging babi di permukaan bungkusan plastiknya amatlah rendah.
Sebaliknya, risiko untuk orang muslim tersentuh sisa-baki daging daripada wang ringgit dan syiling yang sentiasa bertukar tangan itu memang wujud.
Daripada membezakan troli halal dan troli tidak halal, apakah hypermarket NSK cadangkan supaya pelanggan bukan Muslim membayar dengan kad sahaja dan tidak dengan tunai? Dan apakah kementerian akan mencadangkan supaya Orang bukan Muslim dilarang menggunakan Wang kertas dan siling sama sekali? - Chin Huat Wong