Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5



KUALA LUMPUR: Penggunaan panggilan automatik kebiasaannya digunakan untuk membuat kajian atau undian melalui telefon.

Aplikasinya turut menjadi pilihan beberapa syarikat telko yang mengandaikan pengguna mereka dapat memberikan jawapan ikhlas selepas setiap penggunaan berasaskan kepentingan pelanggan.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini kebanyakan syarikat telko sudah menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp sahaja untuk pelanggan menilai tahap prestasi khidmat mereka kepada pelanggan.

Malah medium media sosial seperti Twitter turut digunakan seluas-luaskan syarikat telko kini seandainya ada kekurangan atau mana-mana kesilapan yang perlu ditambah baik hasil daripada aduan pelanggan mereka sendiri.

Di dalam UMNO pula, kajian mengenai sokongan kepada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang giat diadakan melalui panggilan automatik.

Menurut sumber dalaman parti, panggilan itu ditujukan kepada semua ketua bahagian, ketua sayap serta ahli jawatankuasa parti di setiap kawasan di seluruh dunia.

Misinya untuk mengetahui tahap sokongan selain undi kepada Muhyiddin untuk terus kekal di jawatannya atau sebaliknya.

"Ia merupakan panggilan automatik yang akan mengumpul undian adakah Muhyiddin boleh merasmikan mesyuarat sayap parti pada Perhimpunan Agung UMNO Disember depan.

"Penerima panggilan perlu menekan 1 untuk menyokong Muhyiddin atau 2 jika tidak mahu timbalan presiden itu merasmikan mesyuarat sayap.

"Panggilan automatik itu akan menghubungi semua ketua bahagian, meminta mereka menekan pilihan masing-masing untuk dibuat perkiraan, untuk apa perkiraan itu tidak saya tahu," jelas sumber berkenaan.

Di dalam buku Transformasi Politik karya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut, kepimpinan yang diwujudkan wajar serta serta perlu membawa pendekatan baharu.

"Ia penting bagi membolehkan kita menempa sebuah zaman baharu dan pada masa sama, menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan keupayaan prestasi berpaksikan kepada keutamaan rakyat.

"Sesuai latar belakang sejarah Malaysia, transformasi politik dan undang-undang dilaksanakan secara tertib dan berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak. Pada masa sama, kajian mendalam turut dilakukan demi menjamin situasi baharu yang bakal diwujudkan akan lebih baik berbanding sebelumnya.

"Bagaimanapun, kesediaan kerajaan melakukan transformasi politik dan undang-undang besar ini hakikatnya tidak dipengaruhi mana-mana pihak, baik dalaman mahupun luaran, sebaliknya dilaksanakan hasil penelitian, kehendak dan fikrah bagi memulakan proses Islah dan penambahbaikan," catat buku tersebut.

Jelas sekali, panggilan automatik untuk mencari undi itu berkemungkinan besar rentetan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kertas laporan siasatan ke atas tujuh individu dalam UMNO yang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya 'dibuat di khalayak'.

Laporan The Malaysian Insider sebelum ini menamakan beberapa pemimpin UMNO seperti Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos sebagai 'anai-anai' yang merosakkan parti.

Bagaimanapun, Syed Ali segera menafikan dakwaan dia merupakan antara tujuh pemimpin yang telah disenaraikan dalam perhatian pucuk pimpinan tertinggi parti dan menganggap ia sebagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, dakwaan itu juga merupakan cubaan untuk memburukkan imej selain merosakkan hubungannya dengan kepimpinan parti yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber dalaman UMNO daripada hirarki tertinggi kepimpinan parti mengakui memang ada panggilan automatik berkenaan, namun tidak tahu siapa yang mengendalikannya.

"Memang ada, saya sendiri sudah menjawab panggilan itu, menekan punat yang diperlukan untuk memberi undi.

"Saya difahamkan panggilan itu untuk semua ketua bahagian UMNO, namun tidak tahu pihak mana yang mengendalikannya," jelasnya.

Apa-apapun kini, difahamkan keputusan panggilan automatik itu hanya akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO terakhir sebelum perhimpunan agung parti.

Difahamkan juga perjumpaan terakhir MT itu dijadualkan pada Jumaat terakhir November ini dan menjadi titik tolak kepada senario Perhimpunan Agung UMNO awal Disember depan.

Sama ada Muhyiddin akan merasmikan mesyuarat sayap parti atau tidak pada Perhimpunan Agung UMNO kelak, sedikit sebanyak ia bergantung kepada undian orang tertinggi parti semasa sesi panggilan automatik berkenaan.

Namun pesanan Ahli MT UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu tidak ada siapa yang kebal dalam peraturan dan perlembagaan UMNO, memberi isyarat mungkin ada lagi 'korban' parti pada mesyuarat MT akhir bulan ini.

Seandainya ada yang terbuang, relevankah lagi ikrar Ahli MT UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang akan melakukan apa saja untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti sehingga pemilihan akan datang seperti yang dikatakannya sebelum ini?

About Kerja Kosong

THE HYPE MEDIA ditubuhkan semenjak 2009 berfungsi menyebarkan berita, informasi dan isu-isu viral yang menjadi bualan hangat netizen. Segala komen dan pandangan pengunjung di laman ini, tidak mewakili pendirian kami.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Top