Ramai orang menggunakan ayat ini bila ada beberapa ibu berkongsikan info berkenaan susu badan. Untung? Kau tahu tak perit jerih mereka sepanjang tempoh penyusuan? Dan perkara itu yang membuatkan mereka lebih gigih!
Mereka bangun di waktu tengah malam kerana nak mengepam susu saja. Tidur lewat, kena bangun awal keesokkan harinya untuk pergi bekerja. Itu belum ditambah dengan stress di tempat kerja lagi. Untung kau kata?
Ada yang bekerjaya. Kerja bukan jenis waktu pejabat. Pramugari, jururawat, polis, site supervisor, semua itu menyusukan anak dengan susu badan. Kau yang sebagai surirumah pun tak nak bagi susu badan. Belajarlah, bertanyalah. Mereka semua gembira untuk membantu dan berkongsikan info.
Aku kenal mereka melalui Facebook dan aku nampak mereka satu hati sebab mereka faham penyusuan badan itu bukanlah perkara yang mudah tetapi tidak juga susah. Tidak kiralah anak siapa, mereka akan sehabis daya membantu. Itu aku belum cerita tentang isu ibu susuan. Ibu-ibu yang memberi makan anak orang lain susu badan mereka. Hebat!
Kalau kau asyik kata tak ada rezeki, esok pagi-pagi kau tidur saja. Tak perlu keluar bekerja mencari rezeki. Kemudian hidup susah dan kau menyalahkan Tuhan. Hidup ini kalau banyak sangat alasan, kau takkan nampak jawapan. Anak adalah amanah Allah dan Allah amanahkan makanan anak sewaktu bayi susu badan manusia. Kau cari dalam surah Al Baqarh dan surah Lukman. Tidak cukup kuat lagi ke nas yang aku bawakan?
Sumbat lagi dengan susu formula yang kandungan gulanya yang tinggi itu. Al Quran perintah susukan anak dua tahun saja. Selepas itu, ajarlah mereka makan makanan yang berzat. Kau tak nak pula ikut eh?
Iklan susu formula untuk umur 1 2 3 4 5 6 di kaca televisyen boleh pula kau percaya? Boleh pula kau ikut? Sudahlah mahal, kandungan gula pula tinggi. Islam sudah memberikan cara yang mudah, kau pilih cara yang susah. Lantaklah kau! - Abu Hannah
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPMEDIA