Semasa aku berada di tingkatan 5 dulu, aku pernah herdik mak.
"Orang tua tak ada otak!"
Aku marah sebab dia basuh jeans aku guna peluntur. Habis rosak. Padahal, esok dah nak raya. Aku bengang dan aku campak jeans itu pada muka dia.
Selepas peristiwa itu, aku tak pernah minta maaf pada dia. Lastnya, mak okay macam itu saja. Mungkin masa yang berlalu telah merawat luka di hati dia.
Dari tahun ke tahun, ada dah ada kehidupan sendiri. Berkerjaya, berkeluarga dan ada dua orang anak. Malangnya, kedua-dua anak aku ini amat sukar dididik. Mereka memang liar.
Dari aku berusia 17 tahun sehinggalah berumur 50 tahun, aku tak pernah rasa tenang dalam hidup. Sehinggalah tiba satu masa, Allah ingatkan aku tentang dosa yang pernah aku buat pada mak dulu. Ya, dosa aku mengherdik dan mencampak jeans pada muka dia.
Bila aku teringat tentang hal itu, aku terus balik kampung jumpa mak. Aku duduk depan dia dan aku cakap aku nak minta maaf pada dia. Mak pula terasa pelik dan kata aku tak ada buat salah apa-apa pada dia dan memang setiap tahun aku pun minta maaf pada dia. Jadi dia bertambah pelik kenapa tiba-tiba hari itu aku datang dan memohon maaf.
"Mungkin mak dah tak ingat yang saya pernah buat salah pada mak dulu. Semasa saya di tingkatan 5 dulu, saya pernah marah mak dan campak seluar jeans pada muka mak. Saya nak minta maaf tentang itu. Minta maaf banyak-banyak mak," kataku yang sudah mula sebak.
Muka mak mula berubah. Dia genggam erat dan selepas itu dia sentap kuat.
"Mak takkan pernah lupakan perkara itu. Mak dah nekad, kalau mak dah tiada, bila berjumpa Allah, mak akan pegang tangan kamu dan berkata 'Ya Allah, tangan inilah yang pernah melukakan hati aku sedangkan dulu aku telah berkorban nyawa untuk melahirkan dia. Ya Allah, hukumlah dia'.".
Aku serta merta terus menangis di depan dia. Aku merayu agar mak memaafkan aku. Tetapi mak berkeras dan enggan memaafkan aku. Aku pulang dengan sedih dan buntu kerana tidak mendapat keampunan seorang ibu.
Hari demi hari, aku datang jumpa mak. Tetapi setiap kali aku datang, jawapan mak tetap tak berubah. Hinggalah sekali itu, aku tidur di rumah mak. Selepas solat Subuh, aku datang jumpa mak. Mak masih bersimpuh di atas tikar sejadah dia dan tengah berwirid.
Selesai wirid, aku pegang tangan mak. Aku cium tangan dia lama-lama. Aku menangis sekali lagi di depan dia dan pada masa itu aku dapat rasakan tangan mak yang lembut itu menyapu kepalaku. seperti membelai rambut aku ketika aku masih kecil dahulu.
Dalam pada masa itu, mak cakap sesuatu yang aku takkan pernah lupakan sampai bila-bila.
"Rahman, kalau bukan kerana kesungguhan kamu datang berjumpa dengan mak dan minta maaf dengan mak, mak memang takkan maafkan kamu sampai bila-bila. Tetapi hari ini, bersaksilah nak, mak dah maafkan segala kesalahan kamu sejak kamu dilahirkan sehinggalah mak akan pergi nanti," katanya.
Aku angkat kepala dan aku peluk jasad mak. Tersedu-sedu aku menangis di bahu dia seperti anak kecil. Aku menangis semahu-mahunya. Aku sedih dan bersyukur sangat sebab mak dah memaafkan aku. Mak pun menangis pada masa itu.
Selepas mak memaafkan aku, aku dapat rasakan satu kelegaan dan ketenangan yang amat sangat. Rasa bahagia yang tidak pernah aku rasakan sejak selama aku hidup di muka bumi ini.
Habis itu, aku balik ke rumah. Keluar saja dari kereta, kedua-dua anak remajaku datang mendapatkan aku. Mereka cium tangan dan peluk tubuh aku. Saat itu, mereka lafazkan kalimah yang aku memang tidak sangkakan.
"Maafkan kami ayah. Kami banyak buat salah pada ayah,"
Serentak dengan itu, aku mendongak ke langit dan berkata, "Benarlah apa yang NabiMu kata Ya Allah. Sesiapa yang berbuat baik pada kedua ibu bapanya, maka anak-anak mereka akan berbuat baik balik kepada mereka."
Bersama linangan air mata, aku dapat mereka serta lafazkan ucapan kesyukuran yang tidak terhingga.
Terima kasih Allah, Sesungguhnya Engkaulah Tuhan sebaik-baik Perencana.
Karyawan Bisu
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
