Kuala Lumpur: Kisah ibu tunggal hebat, cekal dan besar pengorbanannya, Allahyarham Meliah Mat Diah atau lebih mesra dengan panggilan Tok Meliah yang meninggal dunia pada usia 101 tahun Jumaat lalu di rumahnya, di Kampung Nako Nambua, Padang Terap, turut menjadi perhatian agensi berita luar negara.
Shehab News Agency malam tadi memaparkan gambar Tok Meliah bersama anaknya, Orang Kurang Upaya (OKU), Abdul Rahman Saud, 63, yang dijaganya sejak kecil hingga akhir hayatnya di laman Facebook (FB) mereka.
Antara yang dipaparkan adalah ayat ‘ibu Malaysia yang hebat’ dan ramai memberi komen mengagumi pergorbanan Tok Meliah dan mengucapkan takziah.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, Tok Meliah meninggal dunia kira-kira 3.30 pagi, Jumaat lalu di depan ahli keluarganya.
Anak saudaranya, Siti Jaleha Yunus berkata, Tok Meliah meninggalkan pesan supaya dia menjaga Abdul Rahman.
"Tolong tengok-tengokkan anak saya, jaga makan minum dan pakaiannya, (sebab) saya penat, rasa sesak dada," itulah pesanan terakhir Tok Meliah.
Siti Jaleha berkata, dia bersama suami akan menjaga Abd Rahman sebaik mungkin baik dari segi makan minum dan pakaian kerana itu pesanan utama Tok Meliah sebelum meninggal dunia.