KUALA LUMPUR - Terdapat permainan kuasa dalam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, sekiranya siasat itu hanya berkisar aliran akaun syarikat tersebut sudah tentu siasatan yang dibuat SPRM dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
"Saya percaya terdapat permainan kuasa sedang berlaku. Kita bukan dilahirkan semalam, susah betul nak cari kebenaran kerana semua benda diputar-belit sehingga keluar daripada tujuan asal. Sebab apa, sebab ada permainan kuasa di situ.
"Kalau kita mahu cari keadilan dan kebenaran ia sangat mudah dan siasatan itu boleh selesai dengan cepat. Tetapi bila agenda lain bermain dalam wayang kulit itu maka (keadaan) menjadi isu besar. Itulah masalahnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 anjuran Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda Umno, hari ini.
Beliau sebelum itu ditanya adakah kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertentangan dengan jawapan daripada SPRM bahawa wang RM2.6 bilion adalah wang derma dan tiada unsur rasuah.
Abdul Rahman berkata, terdapat ekosistem tidak percayakan kerajaan hari ini yang mana setiap jawapan yang diberikan ditambah dengan fitnah.
"Fitnah ini hanya boleh dijawab dengan fakta ada satu ekosistem.
Bila perdana menteri beri fakta dan 1MDB berikan fakta, ada satu ekosistem dalam negara memperlekehkan kenyataan itu.
"Bila keadaan ini berlaku, langkah seterusnya adalah jalankan siasatan. Sebab itu perdana menteri sangat terbuka bila ada soalan mengenai 1MDB beliau suruh siasat. Walaupun beliau sudah kata itu bukan rasuah bukan duit rakyat. (Jadi) siasat," katanya.
Bagaimanapun Abdul Rahman berharap semua pihak berlaku adil kepada perdana menteri dan kerajaan dam memberi ruang kepada siasatan yang dijalankan SPRM itu dengan baik tanpa menimbulkan sebarang spekulasi.