KUALA LUMPUR - Susulan tersebarnya gambar resit dan sebuah nota yang didakwa dari tukang masak kediaman Perdana Menteri di Putrajaya, pemilik Me'Nate Steak Hub tampil membuat penafian.
Mustaffa Othman, menafikan laporan media sosial yang menunjukkan tanda harga daging yang disediakan di Seri Perdana bernilai RM19,284.80 itu.
"Setelah kami menyemak tanda harga tersebut, ia adalah palsu dan tidak terdapat dalam sistem inventori kami. Tanda harga serta nota berikut semacam dirancang untuk dipamerkan itu tidak sama dengan tanda harga standard kami yang digunakan oleh Me'Nate Steak Hub di semua outlet kami.
"Ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai barcoding yang tersendiri berbeza dengan apa yang telah diviralkan.
"Hidangan yang dipamerkan juga tidak masuk akal. Jika makan steak dan Matsusaka, manakan boleh ada nasi dan lauk-lauk lain. Gambar tukang masak juga bukan Chef dari Me'Nate," katanya melalui laman Facebook, semalam.
Mustaffa kecewa kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan politik cuba mengheret perniagaannya ke dalam kancah politik fitnah yang tidak bertanggungjawab ini.
"Pihak kami sedang merancang serta sedang mendapatkan nasihat peguam kami selain dalam proses untuk menasihatkan kami akan bentuk tindakan undang-undang yang sesuai diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kepalsuan dan fitnah ini," katanya yang juga menegaskan akan membuat laporan polis jika sudah tiada pilihan yang lain. - THEHYPEMEDIA.