KUALA LUMPUR - Demikian rintihan orang ramai mengenai harga rumah yang terlalu tinggi sehingga mereka terpaksa terus menyewa kediaman orang lain untuk dijadikan sebagai tempat berteduh.
Dalam tinjuan rambang yang melibatkan 108 responden pengguna media sosial yang dibuat oleh Harian Metro, netizen mendesak harga rumah dikaji semula dan ditetapkan mengikut harga siling, selain dari faktor lokasi agar ia tidak terlalu tinggi dan mampu dimiliki oleh rakyat tempatan.
Seramai 97.2% mengatakan harga rumah mampu kini bersifat hanya mampu lihat berbanding 2.8% menyatakan mereka tiada masalah dengan harga rumah terkini.
"Gaji RM5,000 belum tentu dapat beli rumah sendiri. Harga rumah pula semakin tinggi dan tidak terkawal menjadi punca ramai yang masih gagal memiliki rumah sendiri," kata netizen.
Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) Profesor Datuk Kamal Rashdan Salleh berkata, peningkatan harga jualan itu disebabkan beberapa faktor antaranya, harga kediaman sekunder dijual lebih tinggi berbanding harga kediaman baru.
"Pihak penilai hartanah seharusnya tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk kediaman jenis sekunder memandangkan ia boleh mempengaruhi harga jualan kediaman baru.
"Untuk memperbetulkan kembali jualan harga rumah pada ketika ini, penilai hartanah perlu meletakkan tanda aras yang baru bagi kediaman sekunder agar tidak mempengaruhi kediaman baru," katanya
Menurut Kamal, harga rumah mampu milik pada masa ini adalah tidak sesuai dilabelkan sebagai mampu milik kerana tawaran harganya melebihi RM450,000 ke atas. Selain itu, faktor lokasi dan harga tanah yang mahal menjadi punca mengapa pemaju hartanah meletakkan harga yang tinggi untuk kediaman mampu milik adalah sesuatu yang tidak munasabah.
"Kediaman mampu milik sepatutnya bermula pada kadar RM250,000 memandangkan ia adalah kadar semasa yang boleh dipertimbangkan golongan yang berpendapatan pertengahan berbanding harga RM400,000 ke atas," katanya.
Kamal mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah memperkenalkan polisi baru di mana pemaju perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan kediaman yang dibangunkan pada kadar harga bermula RM250,000 bagi membolehkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki kediaman sendiri. - Harian Metro | THEHYPEMEDIA.