Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5



MALAYSIA akan memerlukan kira-kira 32,000 pekerja sektor penerbangan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 sebagai sebuah negara maju dalam hab aeroangkasa serantau.

Menurut Pengarah Kolej Despark, Datuk Alfred Pung, jurutera dan juruteknik penyelenggaraan pesawat udara adalah pekerjaan yang paling dikehendaki.

"Sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat udara (MRO) Malaysia telah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dengan pesanan pesawat udara baru yang tinggi oleh syarikat penerbangan utama, pembekal perkhidmatan MRO di rantau ini sedang mengembangkan keupayaan penyelenggaraan enjin untuk memasuki segmen pasaran tersebut, dan keperluan untuk pekerja sektor penerbangan yang mahir akan berkembang pada kadar yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut firma perundingan perniagaan antarabangsa, Frost & Sullivan, Malaysia merupakan salah satu daripada tiga hab MRO terkemuka di Asia Pasifik, selepas Singapura dan Hong Kong; terutamanya untuk enjin dan kerangka pesawat udara, dan pengubahsuaian kerangka pesawat udara. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 41 projek telah diluluskan dalam sektor aeroangkasa dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 5.3 juta dan 19 projek adalah dalam sektor MRO.

"Negara ini mungkin menghadapi kekurangan jurutera dan juruteknik pesawat udara dalam tempoh lima tahun akan datang kerana sektor MRO yang berkembang dengan begitu pesat.

"Kerjaya dalam sektor MRO adalah cerah dan terjamin," tambah beliau.

Sementara itu, syarikat aeroangkasa terkemuka di dunia, Boeing, meramalkan bahawa permintaan antarabangsa bagi juruteknik dan jurutera pesawat udara akan mencecah jumlah sebanyak 243,500 menjelang tahun 2030.

Di Asia Tenggara sahaja, kira-kira 67,400 juruteknik akan diperlukan.

Statistik permintaan adalah berdasarkan bilangan pesawat udara yang dimiliki oleh setiap syarikat, pesanan pesawat udara baru dan lapangan terbang baru yang dibina di rantau ini.

Menyedari potensi industri aeroangkasa dengan permintaan perkhidmatan MRO yang semakin meningkat, Kolej Despark baru-baru ini melancarkan Program Teknologi Penyelenggaraan Pesawat Udara pertamanya, yang ditawarkan dengan kerjasama institusi pendidikan aeroangkasa terkemuka di dunia, iaitu Institut Teknologi Carlow di Ireland (IT Carlow).

"Kerjasama dengan IT Carlow adalah bukti jelas mengenai hasrat kami untuk menghasilkan pekerja penerbangan yang hebat dan berkemahiran tinggi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan sektor MRO negara.

"Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar kami boleh mengambil peluang menimba sebanyak mungkin pengetahuan mengenai pesawat dan teknologi penerbangan IT Carlow ini," ujar Alfred lagi.

Program Teknologi Penyelenggaraan Pesawat Udara adalah kursus diploma yang diiktiraf oleh MQA dan direka untuk membantu bakat-bakat muda mengejar kerjaya industri penerbangan dalam bidang seperti avionik atau struktur dan mekanikal.

 

Kursus diploma selama dua setengah tahun juga diiktiraf oleh lesen Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA), supaya mereka boleh ditempatkan dalam industri penyelenggaraan pesawat udara bersama syarikat penerbangan utama dan majikan yang pakar dalam penyelenggaraan pesawat udara, sama ada di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa.

About Kerja Kosong

THE HYPE MEDIA ditubuhkan semenjak 2009 berfungsi menyebarkan berita, informasi dan isu-isu viral yang menjadi bualan hangat netizen. Segala komen dan pandangan pengunjung di laman ini, tidak mewakili pendirian kami.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Top