PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) untuk menghapuskan hukuman mati mandatori ke atas beberapa jenayah berat terutamanya yang berkaitan dengan kesalahan dadah dan pemilikan senjata api.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, RUU itu dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan itu akan mengembalikan hukuman terhadap pesalah di atas budi bicara hakim.
"Kami sudah bertemu dengan wakil beberapa negara yang mahu berbincang dan mendesak kita menghapuskan hukuman mati. Kerajaan berminat melakukan apa yang dibuat di negara lain tetapi sudah tentu kita mempunyai had sendiri.
"Saya sudah berbincang dengan Peguam Negara dan beliau menyokong. Saya sedar ia agak sukar untuk Malaysia tetapi saya berharap ia dapat dilakukan dengan segera," katanya. - THEHYPEMEDIA
