20 Oktober lalu, kami ada menyiarkan tentang seorang lelaki warga Pakistan terpaksa bermalam di KLIA selepas gagal mencari pekerjaan di negara ini.
Kisah Ibrahim, warga Pakistan yang bernasib malang ini mencetuskan rasa simpati netizen serta warga kerja di KLIA sehingga ada yang mahu menghulurkan bantuan memberi pekerjaan atau sumbangan tunai untuknya bertahan sementara di KLIA.
Dalam perkembangan terkini, kami dimaklumkan lelaki itu telah pun kembali ke Pakistan petang tadi.
"Salam admin, Uncle Ibrahim sudah berlepas balik. Sempat berborak dengan dia tadi. Sebak pula rasanya. Saya kerja di airport, jadi kamilah tempat uncle refer apa-apa selain makan minum dia. Sampai kawan saya dapat bantu uruskan tiket penerbangan pulangnya.
"Kebetulan kedai yang saya kerja ini bersebelahan dengan International Departure. Jadi, dapatlah merakam gambar betapa gembira dan terujanya dia dapat balik ke kampung halaman," kata Farha Athirah yang menghubungi kami lewat petang tadi.
"Terima kasih juga pada rakyat Malaysia yang membantu uncle Ibrahim. Ramai juga kakitangan airport yang datang memberi makanan selain kawan-kawan tempat kerja saya.
"Seperkara lagi, pada yang minta bantuan kewangan berkaitan uncle Ibrahim ini, minta dihentikan sebab uncle sudah balik. Jadi, tak naklah ada yang mengambil kesempatan," katanya.
Syukur alhamdulillah. Inilah kebaikan media sosial, dapat membantu orang yang benar-benar memerlukan bantuan. Mujur ada pihak yang sudi mencari dan membantu Ibrahim. Tidak terbayangkan bagaimana keadaannya tinggal di KLIA tanpa makan dan minum sementara menunggu penerbangannya pulang ke negaranya pada 11 November.
Terima kasih kepada pihak yang sudi membantu. Moga Allah murahkan rezeki anda. Amin.. - THEHYPEMEDIA