Hari ini saya ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Jalan Duta, menemani seorang hamba Allah untuk membuat pengesahan lafaz cerai. Mahkamah Syariah yang tersergam indah ini hanya menambahkan mimpi ngeri bagi semua para isteri yang datang dengan pelbagai tuntutan berkaitan rumahtangga, nafkah, hak penjagaan anak, tuntutan nafkah, tuntutan harga sepencarian dan sebagainya.
Bayangkan untuk sampai ke sini, tiada perkhidmatan bas awam. Si isteri yang datang pula jenis yang tiada duit, tidak diberikan nafkah dan ditinggalkan buta-buta oleh suami. Datangnya pula terpaksa menaiki teksi. Iyalah, siapa yang nak menghantar? Adik beradik sudah tentu bekerja.
Oleh kerana dia kenalan lama, saya menolongnya secara ikhlas kerana saya berharap dia juga mendapat hak yang dinafikan oleh pihak suami. Masalahnya pun sudah puluhan tahun. Tabik juga saya pada dia dek kesabaran yang tinggi, mampu menyara 6 orang anak, memikul dua tanggungjawab sebagai bapa dan ibu. Alang-alang mental juga dibuatnya.
Masalah status juga perkara yang sangat penting dalam kehidupan sekarang. Nak diletak sebagai ibu tunggal, masih ada suami. Nak bersuami macam ibu tunggal. Segala keperluan diletak di atas bahunya. Mohonlah mana-mana bantuan pun, bantuan ini hanya untuk ibu tunggal sahaja. Jadi, yang ibu tinggal atau ibu tunggul ini sesetengah label yang diberi orang. Nak ke mana hala tuju, nak tuntut cerai bukan sesuatu yang mudah. Semuanya perlukan duit. Yang menjadi ibu tunggul inilah sebenarnya mereka bukan tidak mahu menuntut hak-hak mereka di Mahkamah Syariah, masalah utamanya adalah wang ringgit.
Berbalik kepada cerita tadi, sampai di mahkamah, selepas ambil nombor, dipanggil ke kaunter satu. Diberikan dua borang, satu borang untuk dokumen peribadi. Satu lagi borang cerita lafaz dari suami.
"Puan lengkapkan borang ini dulu tapi tak boleh tulis tangan. Kena taip di bilik sebelah luar sana,"
Kawan tadi dah merenung muka saya dengan wajah muram.
"Tak mengapa, kita isi dulu, tak cukup duit, saya ada bawa duit sikit," kata saya memujuk dirinya.
Muka dia menjadi keruh, airmata sudah mula menitik. Kasihan betul.
Sampai ke jurutaip, dia menghulurkan borang.
"Sehelai ini RM20.00 ye puan,"
Tiba-tiba saya rasa tercekik, tak sempat menelan air liur.
"Ya, RM20.00," ulangnya sekali lagi.
"Agak-agaklah pun, takkan nak taip seperti nama, alamat, butiran peribadi kena caj RM20.00? Kalau dua helai dah RM40.00," kata saya yang otak sudah ligat mengira.
"Puan tengok carta di sini, pihak mahkamah sudah sedia maklum. Kalau tidak puas hati, boleh buat aduan pada mereka," katanya sambil menunjuk satu senari harga bayaran setiap borang. Ada yang RM30.00, ada RM40.00 mengikut jenis tuntutan.
Kawan saya tadi sudah berbisik-bisik.
"Jomlah balik, tak cukup duitlah. Saya ada RM50 saja ni," katanya.
Saya duduk di kerusi yang ada, tarik tangan dia. "Tak apa, alang-alang dah sampai sini,".
Isi borang nombor 7, RM20.00. Save dalam memory nak tanya balik di kaunter itu nanti, kenapa kenakan caj semahal itu pada sekeping A4 paper yang bertaip.
Balik ke kaunter satu, oleh kerana kawan tadi sudah sendu, saya buka mulut bertanya pula pada pegawai itu. Jawapan yang paling mudah,, standard kata orang sekarang.
"Oh, jurutaip persendirian itu tiada kaitan dengan mahkamah ini," katanya.
Mak aih? Senangnya jawab? Yang sana kata harga itu sudah dipersetujui oleh mahkamah. Mahkamah pula kata tiada kena mengena pula. Siapa nak jawab ni?
Saya tanya lagi, kenapa borang tidak boleh bertulis tangan.
"Oh, itu memang law, hakim tak terima kalau tulis tangan,"
Fikir dalam hati, agaknya Hakim ini dah tua kot, rabun baca kes setiap hari.
Selesai pegawai tadi merekodkan sesuatu, dia menujuk ke arah pergi mengambil tarikh perbicaraan di kaunter sebelah.
"Nanti bayar pendaftaran RM27.00," katanya.
Lagi sekali tangan saya direntap.
"Eh? Dah dekat RM47.00 ni, macam mana?" tanya kawan saya itu.
"Tak apa, nanti kita buat rayuan minta dikurangkan bayaran," saya cuba memujuk untuk menenangkan dirinya.
"Saya di sini rekod saja puan. Nak kurangkan bayaran, minta di kaunter pembayaran nanti," kata pegawai itu dengan yakin.
Tetapi hati saya memang tidak yakin ini setakat melepas tenguk saja.
Kami ke kaunter bayaran. "RM27.00 puan," kata pegawai di kaunter.
"Tak boleh kurang ke?" laju kawan saya bertanya.
"Mana boleh," jawabnya segera.
Nak saja saya ke kaunter sebelum tadi tunjal dahi pegawai lelaki tadi kerana menipu. Kali ini tangan saya pula ditarik oleh kawan sebab dia boleh mengagak tindakan saya nak bagi sikit kata-kata manis pada pegawai yang kata boleh kurangkan bayaran itu tadi.
Tak faham juga, kenapa perlu kenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM27.00. Sangat-sangat membebankan! Dia warganegara, bukannya pendatang asing atau pun pemastautin tetap. Suami dia pun warganegara.
Andai kata kejadian berlaku pada orang yang betul-betul susah, datang sekadar membawa duit tambang saja, macam mana? Alamat balik rumah jalan kaki. Sudahlah duit tinggal RM3.00 saja. Apatah lagi nak menjamah nasi, air seteguk pun tak lepas. Siapa nak bela wanita-wanita macam ini? Mana dan apa pihak kementerian wanita buat dengan kes-kes seperti ini? Terlepas pandang ke atau dianggap hanya kes-kes terpencil atau juga jadikan kes isteri ditikam dirodok suami dengan senjata tajam barulah orang-orang itu datang bertanya, barulah menterinya datang berkunjung.
Siapa yang sudi nak berikan bantuan pada isteri yang teraniaya seperti ini? Nak memohon BR1M sudah tentu tidak layak sebab dituntut oleh ketua keluarga. Sudah tentu kalau jenis suami dah lafaz talak tak mahu datang buka fail di mahkamah, jangan haraplah duit BR1M sampai ke tangan isteri.
Sewajarnya kementerian sediah maklum berapa ramai wanita yang dinafikan hak untuk mendapatkan BR1M tergantung kerana kes penceraian masih belum selesai. Kadangkala sampai dua ke tiga tahun.
Atas sebab inilah saya sampai ke mahkamah kerana mahu pembelaan yang sewajarnya pada isteri yang dinafikan haknya. Teringat kata-kata seorang sahabat, Mahkamah Syariah adalah tempat paling berhantu dan seboleh-bolehnya dia menharamkan kaki ke situ lagi. Sekarang baru saya faham maksudnya.
Di sini, saya memohon mana-mana pihak yang ada kuasa seperti persatuan ibu tunggal, NGO memberi perhatian pada masalah ini demi wanita-wanita yang masih terbelit dengan masalah di mahkamah kerana kekangan wang ringgit. - Puspa
Ditulis semula untuk mudah difahami oleh pembaca di THEHYPEMEDIA