PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malam tadi mengesahkan ubat demam (sirap) kanak-kanak 120 miligram/5 mililiter mengandungi alkohol dan ditarik balik.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Esah A Rahman berkata, kementerian sudah menetapkan spesifikasi bahawa produk itu tidak mengandungi alkohol dan ketika tawaran dibuat mendapati kandungan alkohol tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan produk menyebabkan tawaran diberikan kepada syarikat Royce Pharma Sdn Bhd membekalkan produk itu, memetik laporan dari Harian Metro.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati produk paracetamol itu mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan.
"Kementerian sudah mengarahkan syarikat berkenaan memanggil balik semua produk berkenaan di pasaran dan fasiliti yang terbabit.
"Bagaimanapun, produk itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Kandungan alkohol pada produk berkenaan berada pada had yang dibenarkan dan tiada isu keselamatan dilaporkan," katanya.
Sementara itu para ibu bapa yang beragama Islam menyuarakan kebimbangan dan rasa kecewa mereka di media sosial. Mereka mendakwa kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM itu mengelirukan dan sukar difahami sehingga ada yang menunding jari pada KKM.
"Alkohol, hukum dia apa? Badigol punya statement. Dahlah bagi budak-budak minum, patutlah anak demam tak kebah-kebah mantoi kepala mabok. Haramkan saja ubat lakhanat ini. Kita mati-matilah ingat makan ubat sirap, anak boleh baik. Ini bukan bagi baik, ini nak bagi makin sakit. Jakim mohon siasat! KKM ini sudah jauh tersesat," kata Ah Long.
Bagaimanapun, tampil beberapa individu menjelaskan kenyataan media yang menggunakan ayat bombastic sehingga menyukarkan orang ramai memahaminya.
"Pihak KKM sudah menetapkan bahawa dalam sirap paracetamol Renol itu tidak patut mengandungi alkohol. Tetapi selepas mendapat tender, syarikat itu sendiri yang buat penambahan alkohol yang berfungsi sebagai pengawet. Alkohol boleh digunakan dalam ubat-ubatan tetapi pada peratusan yang sangat sedikit.
"Kita tidak patut menyalahkan klinik atau hospital yang memberikan ubat sirap ini. This is probelm of manufacturer, bukan macam medication error. But for parents, memang kena berhati-hati bila bagi ubat pada anak. Kami di bahagian perkhidmatan klinik juga mahu memberikan yang terbaik untuk anda. Tidak semua orang buat kerja cincai," kata Cik Awin.
"Sebenarnya dalam ilmu perubatan memang ada alkohol digunakan. Contohnya untuk mencuci luka, malah dalam kandungan minyak wangi yang kita guna seharian juga mengandungi alkohol. Selain daripada itu juga, dadah pun ada digunakan dalam perubatan tetapi dalam dos yang dibenarkan. Cuma kita yang tidak sedar dengan itu semua.
"Dalam Islam dibenarkan jika tiada cara lain untuk menyembuhkan penyakit itu melainkan ubat yang mengandungi alkohol dan benda-benda haram yang lain. Tetapi, jika terdapat cara lain yang lbih yakin status halalnya adalah lebih baik gunakan cara itu," kata netizen. - THEHYPEMEDIA