Kerjaya seorang guru atau cikgu, tidaklah semudah yang disangkakan. Dengan jadual yang padat, kerja yang melambak, mereka perlu mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk mencapai sasaran mereka atau sekolah demi pelajar yang tersayang.
Jika anda, seorang lelaki yang berimpian berkahwin dengan seorang wanita bekerjaya sebagai seorang guru, anda mungkin perlu membaca panduan yang disediakan oleh Cikgu Hairul ini, agar tidak terumbang-ambing suatu masa kelak.
![]() |
Almy Nadia, gambar sekadar hiasan |
Berkahwin dengan seorang guru memerlukan persediaan yang rapi. Apabila seseorang yang bukan guru mahu berkahwin dengan seorang guru, maka ada banyak perkara yang perlu dipelajari dan diketahui.
1. Pastikan si dia seorang guru
Adakah anda pasti mahu berkahwin dengan seorang guru? Adakah anda jatuh cinta kerana dia seorang guru atau si dia kebetulan seorang guru?
Dua keadaan jatuh cinta yang sangat berbeza. Guru adalah kerjayanya, sedangkan dia mahu dicintai sebagai dirinya seorang wanita. Jika dia tidak lagi bekerja sebagai seorang guru, mahukah anda mengahwininya?
2. Sedia Sibuk Sepanjang Masa
Kerja yang lain pun sibuk juga, tetapi kerja seorang guru, sibuknya lain macam. Adakah anda sudah bersedia dengan kesibukan pasangan anda?
Sibuknya seorang guru pada zaman ini sememangnya tidak dapat diselindung lagi. Dari buka mata sampailah tutup mata, seorang guru masih sibuk. Kadang-kadang nak pergi kenduri kahwin kawan-kawan pun tak sempat.
Jangan marah-marah pula bila nak pergi berbulan madu pun tak ada masa. Jangan pula salahkan dia jika dia terpaksa bertugas di hujung minggu.
Ini kerana, kesemua perkara itu sepatutnya sudah dijangka. Jadi, tidak ada soal terkejut ketika sedang leka mneyusuri sungai, tiba-tiba ada jeram di depan.
3. Menjadi Pendengar Yang Baik
Kemahiran mendengar perlu ada pada seseorang yang ingin berkahwin dengan guru. Bagaimana di sekolah, begitu jugalah di rumah. Adakalanya tak sempat nak masuk dalam kereta, ceritanya sudah panjang berjela.
Dengar, faham dan cuba berada di dalam situasi. Sesekali, berikanlah respon. Seorang guru mampu bercakap selama 8 jam tanpa henti. Jika kita tidak memberikan respon sekali pun, dia mampu bercakap tanpa henti. Untuk mengelakkan situasi menjadi bosan, sesekali sampuklah percakapannya untuk membuatkan dia berhenti seketika untuk menarik nafas.
4. Populariti
Seorang guru memang popular. Anda mesti sanggup untuk menjadi kurang popular. Meskipun anda berjawatan CEO di tempat kerja kerana jawatan itu belum dapat menandingi kepopularan seorang guru.
Pernah sekali semasa saya bercuti di Sabah. Ada sekumpulan veteran meminta tolong saya mengambil gambar. Semasa dia menghulurkan kameranya, dia bertanya "Awak ini, cikgu kan?". Begitulah kepopularan seorang guru. Tanpa diberitahu pun, orang sudah mampu meneka.
Berjalanlah ke mana pun, peluang untuk ditegur itu sangat tinggi. Kadang-kadang anak murid, bekas murid, ibu bapa murid, datuk nenek murid akan tegur pasangan kita semasa kita tengah asyik berdating. Pastikan tahap kesabaran kita pada ketika itu di peringkat yang paling tinggi.
5. Sudi Menjadi Suri Rumah
Bagi yang ingin memperisterikan seorang guru, sudikanlah diri menjadi seorang suri rumah tangga. Bukan bermaksud anda takut pada isteri, tetapi bantulah dia menguruskan rumah tangga.
Nak hidup bahagia, apa salahnya ringankan tulang bantu isteri di dapur. InshaAllah isteri akan bantu kita di bilik tidur.
6. Pembantu Rumah
Trend pada masa ini, suami isteri bekerja sehingga tiada masa untuk menguruskan rumah tangga. Mendapatkan pembantu rumah adalah satu idea yang baik untuk difikirkan bersama.
Dengan memahami hakikat seorang guru itu sibuk dan tiada masa untuk menguruskan rumah tangga, tidak salah mencari pembantu rumah.
7. Bercuti Dengan Rate Eksklusif
Ini adalah antara perkara yang wajib anda terima. Lebih-lebih lagi jika pasangan seorang guru dan sebaliknya. Peluang untuk bercuti bersama hanya ada pada masa cuti sekolah. Kerana seorang guru bukannya boleh mengambil cuti sesuka hati.
Di Malaysia, kebanyakan pusat peranginan mengenakan rate eksklusif pada musim cuti sekolah. Itu saja masa yang ada untuk anda bersama dengan pasangan untuk menikmati percutian. Anda kena terima dan redha serta sediakan duit banyak-banyak.
Nak berkahwin dengan seorang warga pendidik, anda kena menjadi seorang yang hebat, berani menghadapi cabaran. Tidak boleh berjiwa tisu. Anda berani? - Cikgu Hairul
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM