JOHOR - Seorang pengunjung Johor Premium Outlet (JPO) dipatuk ular di kawasan tempat letak kereta dan memaklumkan insiden itu kepada pihak pengurusan JPO, namun tidak diambil serius.
Dayang NorAzreen, meluahkan rasa kecewanya terhadap pengurusan JPO yang tidak memandang serius insiden itu.
"Memang seronok shopping di JPO tetapi ada satu insiden yang telah berlaku. Kawan aku dipatuk ular di kawasan itu dan kami pergi membuat laporan pada pihak pengurusan JPO. Malangnya, kami kecewa dengan tindakan pihak pengurusan JPO yang tidak mengambil serius tentang hal ini. Malah mereka juga turut mengakui bahawa mereka juga kerap melihat ular, siap cakap ular tedung lagi selain dari babi hutan pun turut pernah ditemui.
"Agak mengejutkan. Walaupun mereka melayan kami dengan baik, siap sapukan ubat dan plaster di kaki kawan aku dan hantar kami di luar tetapi aku rasa itu tidak mencukupi. Sepatutnya pihak pengurusan JPO kena ada rasa tanggungjawab. Sekurang-kurangnya bawalah kawan aku pergi ke hospital ke, bagi duit rawatan ke.
"Kami memang agak blur dan panik pada masa itu. Jadi, kami ikut saja apa yang mereka katakan. Jadi, aku nasihatkan, siapa-siapa yang nak pergi ke JPO, berhati-hatilah sebab banyak binatang buas dah diorang ternak di situ," katanya.
Menurut Dayang, mereka mahu memfailkan saman terhadap pengurusan JPO yang didakwa tidak mengutamakan keselamatan pengunjungnya. - THEHYPEMEDIA