Salam semua. Apa yang saya akan cerita dan kongsikan ini adalah untuk kebaikan kita bersama serta agar kita semua lebih berhati-hati.
Pagi 23 September 2015, anak sulung saya dalam perjalanan dari Kota Damansara Kuala Lumpur ke Alor Setar. Beliau telah berhenti sebentar di Tapah kerana tunangnya hendak pergi ke tandas.
Semasa menunggu di dalam kereta, datang sebuah kereta yang penumpang termasuk pemandunya seramai empat orang lelaki berbangsa India terus membuka pintu kereta dan menyuruh keluar atas alasan mahu menarik kereta.
Pada masa yang sama, mereka juga memaklumkan jika diberikan wang, mereka tidak akan menarik kereta itu. Namun, anak saya mahu menghubungi pihak bank terlebih dahulu untuk kepastian. Tetapi tindakan itu membangkitkan kemarahan mereka lalu mengugut anak saya.
"Nak mampus ka?! Saya nak settle sekarang! Kalau you nak call bank, saya akan tarik ini kereta juga!" katanya.
Kemudian, anak saya meminta izin untuk menghubungi saya untuk meminjam wang. Mereka membenarkan anak saya berbuat demikian. Lalu anak saya menjarakkan diri dari lelaki terbabit dan terus menghubungi pihak bank.
Menurut pihak bank, tiada pembayaran tertunggak dan tiada arahan untuk menarik keretanya. Pihak bank menasihatkan agar anak saya segera menghubungi polis. Terkejut dan panik, anak saya terus menghubungi saya dan menangis ketakutan.
Selepas menjelaskan apa yang terjadi pada saya, lelaki India itu terus merampas telefon dan menyuruh saya membayar mereka RM900 jika mahu masalah itu diselesaikan atas alasan jika mereka menarik kereta itu, pihak bank juga akan membayar mereka RM900.
Bimbang dengan keselamatan anak dan tunang serta enggan perkara menjadi lebih buruk, maka saya bersetuju untuk membayar RM300. Malangnya lelaki itu tidak bersetuju dan mengugut saya sekali lagi.
"Anak perempuan awak ada dengan saya sekarang. Nak bayar atau tak?!" gertaknya.
"Beri saya 10 minit untuk saya pindahkan wang," balas saya dengan tenang.
Saya hubungi anak saya semula dan menyuruhnya menjauhkan diri daripada sekumpulan lelaki itu dan bersembunyi di dalam tandas. Pada masa yang sama, anak say menghubungi polis dan tunangnya menghubungi rakannya di sekitar Tapah.
Menyedari kehadiran polis peronda, keempat-empat lelaki India itu segera melarikan diri. Mereka juga sempat mengugut anak saya yang kononnya mereka akan mengikuti anak saya sampai dapat keretanya.
Anak saya dan tunangnya kemudian dibawa ke balai polis.
Menurut pihak polis, kes seperti ini kerap berlaku di Tapah dan kumpulan ini menyasarkan golongan muda, terutamanya pemandu perempuan. Dua hari yang lalu juga, seorang pemilik Proton Iswara juga diugut dan kerana takut, mangsa telah membayar wang itu kepada kumpulan terbabit.
Kawasan R & R Tapah ini adalah kawasan jenayah. Tadi kawan saya baru saja menghubungi saya yang beliau ternampak kereta suspek di R & R Behrang pada jam 3 pagi. Ketika ditemui, empat suspek berkenaan sedang mendengar lagu dengan kuat dan berada dalam keadaan mabuk.
AJM 1324, Perodua Alza berwarna purple. Tingkap kereta gelap 100%.
Modus operandi mereka di kawasan lebuh raya Tapah. Sila sebarkan kepada orang ramai agar mereka lebih berhati-hati. Sebelum ini saya hanya mendengar cerita sahaja. Tetapi kali ini, benar-benar terjadi pada anak saya sendiri. - Naz Adam
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA