SYDNEY - Seorang lelaki tersekat dalam mesin basuh lebih dari tiga jam terpaksa meminta bantuan dari pihak bomba untuk menyelamatkannya.
Mangsa yang berusia 22 tahun itu terperangkap dari pinggang ke kaki dalam mesin basuh muatan atas di kediamannya di Lakemba, barat Sydney.
"Tugasan ini sangat menarik kerana kami tidak pernah menerima dan melakukan operasi menyelamat seperti ini," kata Bomba New South Wales, kelmarin.
Bomba terpaksa meleraikan mesin basuh tersebut dan meletakkan bongkah kayu untuk menstabilkan mangsa sepanjang proses meleraikan mesin basuh itu.
"Sebaik bahagian luar dileraikan, kami memotong tong yang diperbuat dari keluli tahan karat itu bagi membolehkan lelaki itu dikeluarkan," katanya.
"Ini adalah tugasan yang paling pelik diterima. Mangsa tenang sepanjang proses mengeluarkannya walaupun dalam keadaan yang sangat tidak selesa," kata bomba. - AGENSI


