KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir program 'Dialog PM bersama NGO' pagi ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana faktor keselamatan atas nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini, berkata, pejabat PM dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program itu, yang dijadual berlangsung pada pukul 10 pagi, terpaksa ditangguhkan atas arahan Ketua Polis Negara @PDRMsia.
"Hal demikian disebabkan pertimbangan isu keselamatan di lokasi.
"Ikutan arahan dan nasihat Ketua Polis Negara, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri program ini," menurut kenyataan itu.
Majlis yang bertajuk 'Nothing to Hide' anjuran Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) itu dijadual diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.
Wakil NGO, aktivis dan orang ramai dijangkakan boleh bertanya kepada Najib mengenai semua perkara termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.
Bagaimanapun menurut wartawan Bernama di PWTC, penganjur membatalkan program itu pada pukul 10.30 pagi kerana berlaku kekecohan di luar Dewan Tun Hussein Onn sehingga ada individu yang ditahan polis. - Bernama