PUTRAJAYA -Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan hari ini meluahkan rasa gembiranya berikutan peralatan pekakasan rumah mengalami penurunan harga selepas perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lapor BeritaDaily.com
"Di tangan saya ada senarai 376 barangan harga sewaktu SST dan GST. Selepas GST semuanya turun harga", katanya sambil menambah jika tidak kerana perbezaan matawang, hampir kesemua barang mengalami penurunan harga.
"Tetapi apa yang penting saya nak sebutkan di sini ialah pihak peniaga perlu mengamalkan etika peniaga yang baik. Kalau kita ambil MBA di mana-mana universiti, ada beberapa subjek yang menekankan tentang etika bisnes. Ini disebabkan kebanyakkan barangan keperluan rumah sebelum ini dikenakan sebanyak 10% dan apabila diganti dengan GST ia menjadi enam peratus. Maka harga barangan diturunkan," katanya ketika merasmikan promosi GST di Houz Depot Petaling Jaya.
"Contohnya, barangan di rumah seperti katil, almari, sofa dan kerusi meja yang dahulunya mahal tetapi sekarang sudah murah. Antara barangan lain yang turut mengalami penurunan harga ialah barang elektrik seperti kipas, mesin basuh, peti sejuk cerek elektrik, periuk elektrik, dan televisyen.
"Senarai barangan yang terlibat boleh dilihat dalam laman rasmi Kastam, KPDNKK atau Twitter @AhmadMaslan. Twitter saya dah jadi macam GST 101," katanya sambil ketawa. -BERITADAILY.COM



