KUALA LUMPUR - Seorang bayi berusia 5 bulan cedera di bahagian muka, tangan dan telinga dipercayai digigit serta dicakar ketika dalam jagaan pengasuhnya di sebuah taska di Pandan Indah, semalam.
Nur Ameena Nabila, mengalami luka hampir pada keseluruhan wajahnya selain di pergelangan tangan kanan dan telinga.
Bapanya, Ahmad Mat Seman, 44, hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan oleh pengasuh yang menghubungi isterinya, Izurni Ibrahim, 38, pada jam 1.45 petang semalam yang meminta dia mengambil anaknya.
Bapa mangsa mendakwa, kejadian itu mungkin berlaku lebih dari tempoh sejam sebelum pengasuh menghubunginya kerana terdapat kesan darah yang telah kering pada telinga dan selimut anaknya.
Ekoran itu, Ahmad Mat Seman membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah sebelum membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan. - BERITA HARIAN