KUALA LUMPUR: "Kenapa sampai keterlaluan begini pihak berkenaan buat saya, apa salah arwah ayah saya sehingga dihina sebegini?"
Demikian penjelasan dari Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan rasa kesal kerana nama arwah ayahnya dinamakan dalam permainan telefon pintar Android.
"Ayah saya sudah tiada, tolong jangan hina dia. Maslan adalah seorang penoreh getah yang miskin dan buta huruf," katanya.
Permainan baharu Maslan yang dinamakan 'MASLAN 3.85 Extended Version' dan 'Tampar Maslan' mula dipromosi di laman sosial termasuk sistem pesanan WhatsApp pada Rabu.
Dalam pada itu, pihak pembangun permainan itu turut disifatkan tidak tahu namanya dan sengaja menamakan nama arwah ayahnya untuk terus memburukkan lagi situasi.
"Nama saya pun puak-puak ini tidak tahu," ujarnya.
Ahmad sebelum ini dilaporkan kecewa apabila kebanyakan kenyataannya, terutama mengenai isu Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST), banyak diputarbelitkan beberapa pihak.
Kata Ahmad, walaupun kehidupannya sebagai seorang menteri banyak berubah selepas pelaksanaan GST kerana menjadi sasaran ditertawakan, namun sedar tanggungjawabnya untuk terus memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kebaikan GST.