Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5



Kabinet hari ini mengarahkan Jabatan Peguam Negara supaya segera mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menipu rakyat berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
   
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan segera perlu diambil kerana peniaga yang tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan ekoran kenaikan harga barang.
   
Beliau berkata, pelaksanaan GST bermula 1 April lepas, sepatutnya membantu rakyat menikmati harga barang lebih murah kerana kadar CBP sebanyak enam peratus  lebih rendah berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus.  
   
"Hari ini dalam mesyuarat kabinet, kita minta supaya Jabatan Peguam Negara segera ambil tindakan kepada kes yang dibawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
   
"Mana-mana kes yang terang-terangan ambil kesempatan menipu rakyat, cepat-cepat dikenakan hukuman," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Dun Tioman, di Dataran Rompin di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan calon BN pada PRK Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin.
   
Muhyiddin berkata, arahan supaya Jabatan Peguam Negara bertindak segera, menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang demi melindungi rakyat daripada dibebani dengan kos sara hidup.
   

"Jika ada undang-undang (tetapi) tidak dikuatkuasakan...tak guna. Peniaga yang ikut peraturan tak perlu takut kerana kita sepatutnya kena tolong pengguna. Jangan bebankan rakyat, sebab nanti mereka salahkan kerajaan," katanya.
   
Beliau berkata, GST yang merupakan penambahbaikan kepada sistem percukaian SST bertujuan membantu rakyat kerana wang yang diperoleh kerajaan menerusi CBP akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai pelan pembangunan.
   
Katanya, beliau memahami rungutan rakyat terutama dalam soal kos sara hidup, dan kerajaan sentiasa berusaha menangani perkara itu menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan pemberian baucar buku.
   
"Saya sendiri sokong GST, memanglah pada peringkat awal ini orang marah-marah (dengan pelaksanaan GST), tapi lama-kelamaan ia akan semakin stabil dan tidak ada kecoh, baharulah orang nampak kebaikannya," katanya.
   
Muhyiddin juga yakin rakyat khususnya di Rompin dan Permatang Pauh akan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN yang mempunyai pelbagai agenda dan program untuk membawa Malaysia ke arah negara maju pada tahun 2020.  - Bernama

About Kerja Kosong

THE HYPE MEDIA ditubuhkan semenjak 2009 berfungsi menyebarkan berita, informasi dan isu-isu viral yang menjadi bualan hangat netizen. Segala komen dan pandangan pengunjung di laman ini, tidak mewakili pendirian kami.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Top