PUTRAJAYA - Datuk Nurulhidayah mengaku dia tidak pernah menerima sebarang anugerah Ikon Belia seperti yang tersebar di media sosial.
Anak sulung kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, isu itu berpunca dari kesilapan pihak stesen TV tempatan yang tidak sengaja 'menganugerahkan' gelaran itu kepadannya, lapor Free Malaysia Today.
""Sebenarnya, gelaran ikon belia ini adalah kesilapan dari pihak stesen TV semasa saya dipanggil dalam sebuah rancangan bual bicara, tahun lalu.
"Pihak penerbit ada bertanya pada saya nak 'gelar' saya sebagai apa? Saya kata, saya aktif dalam persatuan beliau, banyak terlibat dalam program belia. Oklah, dia tanya saya nak letak apa, saya kata 'Aktivis Belia' sesuailah.
"Semasa 'On Air' saya nampak tertera di bawah nama saya Ikon Belia. Saya cakap, habislah. Tetapi bagi saya mungkin pihak penerbit merasakan saya wakil kepada belia sebab itu dia letakkan gelaran saya sebagai ikon belia.
"Tetapi bagi orang lain, gambaran mereka bagi ikon belia adalah lain," jelasnya.
Ekoran itu, Nurulhidayah telah menulis surat kepada stesen TV berkenaan dan meminta perkara itu diperbetulkan.
"Saya telah menulis surat kepada stesen berkenaan agar pihaknya mengeluarkan kenyataan di atas kesilapan itu.
"Saya menerima semua ini dengan hati yang terbuka dan positif. Isu ini ada juga memberikan kesan tetapi tidaklah sehingga menjejaskan kehidupan saya. Saya fikir secara positif, mungkin orang mahu kenal saya dengan cara begitu, jadi tak mengapalah," katanya. - PIXEL MEDIA
.