Mereka bukan ahli atau pakar bidang tertentu dan maklumat yang disebarkan memperlihatkan kononnya golongan terbabit sudah melakukan kajian bertahun lamanya.
Lebih membimbangkan, beberapa individu ini yang aktif dalam laman sosial Facebook (FB) dilihat menggunakan slogan Islam sebagai alasan untuk menguatkan lagi hujah mereka.
Golongan kononnya ustaz dan ustazah FB ini dilihat mempergunakan agama sekali gus ia mencerminkan kepada masyarakat setiap maklumat dan hujahan yang disebarkan itu adalah betul belaka.
Tanpa mendedahkan diri masing-masing, puak lagaknya seperti patuh agama ini turut berjaya mempengaruhi segelintir nitizen apabila mempunyai jumlah pengikut dan penyokong yang ramai sehingga mencecah ribuan.
Penelitian dan pemerhatian terhadap setiap status serta maklumat dimuat naik pada FB mereka mendapati, antara isu hangat yang sering ditimbulkan seperti vaksin bayi, bersalin di rumah selain perkara berkaitan perubatan dan kesihatan.
Biarpun bukan dalam kalangan doktor atau pakar perubatan dan kesihatan, individu terbabit mengeluarkan pandangan dan menyebar maklumat seolah-olah mereka profesor serba tahu.
Pemerhatian menerusi akaun FB juga mendapati, mereka ‘aktif’ menghentam dan mempersoalkan usaha yang dijalankan Kementerian Kesihatan terutama berkenaan vaksin bayi.
Walaupun terdapat usaha daripada pihak Kementerian Kesihatan memberi penjelasan dan maklum balas setiap dakwaan ustaz dan ustazah FB ini, golongan terbabit tetap ego dan tidak boleh menerimanya.
Kementerian Kesihatan turut dituduh menyembunyikan fakta dan situasi sebenar berhubung vaksin bayi apabila golongan ini mempersoalkan mengenai Garis Panduan Farmakovigilans Keselamatan Vaksin di Malaysia sedangkan sudah berbuih mulut penjelasan dibuat.
Antara dakwaan mereka ialah vaksin mendatangkan risiko, menyebabkan bayi ‘tidak organik’ selain mendakwa sistem imunisasi anak yang divaksin ‘diceroboh’ bahan asing.
Lebih malang apabila mereka mendakwa vaksin adalah agenda Yahudi selain memberi alasan agama mengamalkan pemakanan sunnah adalah terbaik bagi sistem imunisasi.
Mereka juga mendakwa vaksin yang diberi kepada bayi mengandungi pelbagai bahan terlarang seperti toksin, najis, janin lembu dan buah pinggang monyet sedangkan golongan ini tidak pernah pun melakukan kajian mendalam terhadapnya.
Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan mereka turut menyokong dan menyebarkan maklumat mengenai bersalin di rumah bukan di hospital.
Perbuatan itu dilihat memperjudikan nyawa apabila bersalin tanpa pemantauan doktor dan jururawat hanya ditemani suami yang sudah terang-terangan bukan dalam kalangan ahli perubatan.
Agak menyedihkan apabila, mereka seolah-olah tidak memikirkan keselamatan diri serta bayi kerana kononnya mahu bersalin tanpa ada sebarang pengambilan ubatan di hospital.
Segelintir mereka juga ada yang mendakwa, bersalin menerusi kaedah itu adalah mengambil kira kepada kisah Maryam menjauhkan diri serta bersandar pada pohon kurma tatkala melahirkan Nabi Isa.
Paling tidak dapat diterima akal apabila, segelintir ibu ini bersalin di rumah hanya berpandukan kepada maklumat dan penceritaan pengalaman yang diperolehi hanya menerusi Internet sahaja.
Dakwaan puak ‘serba-serbi tahu’ ini jika tidak dipantau dibimbangi akan mengundang gejala lebih teruk apabila ramai yang akan terpengaruh sekaligus mengundang kesan buruk terhadap kesihatan masyarakat di negara ini. HMETRO
.