Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5


Pagi ini (12/11/2015), kami bersarapan dengan Idaman, sebuah syarikat yang menguruskan sisa buangan. 

Semasa ucapan pembukaan, majikan mereka berkata ini adalah pertama kali orang awam datang ke tempat mereka dan menawarkan sarapan pagi. Katanya, biasanya orang akan memandang rendah pada mereka yang bekerja sebagai tukang angkat sampah.  Kesemua kakitangan yang bekerja di sini adalah warga Malaysia. Kesemuanya lelaki kecuali seorang kakitangan wanita, dia seperti ibu kepada kakitangan-kakitangan muda yang lain. 

Ketika dia memberikan ucapan, semua kakitangannya hanya mengangguk faham. Apabila tiba giliran saya berucap, saya memberitahu mereka apabila saya beritahu seorang individu berprofil tinggi akan bersarapan pagi dengan kakitangan Idaman, soalan yang diajukan kembali ialah, "Untuk apa?"

Saya jawab, itulah cara kami sebagai orang awam mengucapkan terima kasih. Tidak mencukupi sebenarnya tetapi itulah cara yang terbaik yang mampu lakukan.

Kemudian, sarapan pagi dihidangkan. Saya mula bergaul dengan mereka. Pada mulanya mereka kelihatan agak berhati-hati dan mengambil sedikit masa untuk mendekati mereka. Tetapi saya perlu mendengar dan berbual dengan mereka. Dan inilah ceritanya:

"Encik betul, memang orang pandang hina, pandang rendah pada kami," katanya.

"Bagaimana? Apa yang mereka katakan?" 

"Nak dengar ke? Awak betul-betul nak tahu?" soalnya sambil memandang dekat pada wajah saya.

"Ya! Sangat-sangat teringin!"

"Apabila mereka melihat kehadiran kami, mereka mula menutup hidung mereka. Perbuatan mereka sangat menyedihkan. Yang berbau busuk itu adalah sampah, bukannya kami. Adakalanya mereka menggunakan plastik yang nipis yang mana mereka buang nasi basi, isi perut ayam, ikan dan segalanya sehingga plastik sampah itu menjadi berat. Di waktu malam, plastik itu mula mereput. Bila kami angkat, plastik itu pecah dan isinya terburai lantas menyebabkan tempat itu menjadi kotor dan berbau busuk. Kami bersihkan dan orang pula datang menutup hidung.

"Adakalanya bila kami bekerja di kawasan perumahan kami sendiri, jiran-jiran kami langsung tidak memandang kami. Mereka kelih ke tempat lain. Paling teruk, adik beradik kami sendiri pun pernah berbuat demikian. Kami diperlakukan seperti orang asing, seperti orang yang tidak layak berada dalam kelompok mereka dan ini sangat menyakitkan hati.

"Apabila mereka nampak kami datang, mereka hanya membuang sampah mereka di tepi jalan dan terus lari walaupun ada rumah sampah yang berhampiran, mereka tetap berbuat demikian. Ini menyusahkan kami sedangkan kami tak menganggu orang.

"Seperkara lagi, apabila kesemua ini berlaku di hari-hari kebiasaan (tutup hidung dan tidak peduli kehadiran tukang angkut sampah), kami menjadi sangat takut walaupun untuk pergi minum selepas kerja. Kalau kami pakai uniform, kami akan dinilai. Ada sesetengahnya menyuruh kami duduk di luar dan kami ikut saja arahan mereka sebab kami sudah terlalu penat dan perlukan minuman.

"Tetapi jika kami pergi ke tempat yang sama dengan pakaian yang lain, barulah orang akan sudi menegur sapa kami. Adakalanya kami terlupa yang kami bukan memakai uniform tetapi masih terasa terasing dengan keadaan sekeliling. 

"Encik, tiada siapa tak nak hidup senang. Tetapi ini adalah takdir kami. Kami sentiasa berdoa, berdoa dan berdoa banyak-banyak. In material world we are lacking. Add to the inhuman act by others towards us, no one can understand. Encik pun faham juga kan di masa encik kena kutuk 1Malaysia kerana pegang anjing," soalnya.

"Ya saya faham," balas saya.

"Tetapi kami semua teringin hidup senang. Janganlah buat tak kenal kami, sedih. Di Perlis, orang-orang yang berpendidikan sekurang-kurangnya akan memberikan senyuman dan bertanya soalan seperti "Jaga kawasan ini ye?". Itu sudah cukup untuk merasai dihargai," katanya. Namun setakat ini tiada yang pernah melemparkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati mereka dengan sengaja.

"Cara Encik Azmi dan kawan-kawan bagus. Bawa sarapan dengan teh panas, sejuk hati kami. Sayu pun ada. Kadang-kadang orang tinggalkan makanan untuk kami atas tong sampah. Bila buka, basi. Yang pagi ini pula, rasa macam hotel. Berapa Encik Azmi bayar?" soalnya. 

"Ianya sumbangan dari Tamakpahala Collective Fund dan orang awam (terima kasih semua!)" jawab saya pada persoalannya itu.

Saya berbual dengan lima orang lagi kakitangan yang lain. Mereka tidak merungut, sebaliknya mereka berbangga dengan pekerjaan mereka. Mereka bersyukur mempunyai majikan yang baik dan mengakui kebajikan mereka dijaga oleh syarikat berkenaan.

Saya bangga team kami memilih program seperti ini. Ini adalah salah satu cara bagaimana orang awam boleh terlibat dalam usaha baik seperti ini. Sarapan yang ringkas, berbual bersama mereka, menjayakan misi ini dalam sebuah kumpulan dan melakukannya seperti sebuah keluarga.

Nama saya Syed Azmi. Ya saya buat program IWTTAD dan bangga dengannya. But I am not blinded over one event. There is so much more to explore in our society. Small world of small lamb. 

Saya cabar mana-mana stesen radio menghubungi tukang angkut sampah kita dan menemubual mereka. Ceritakan kisah hidup mereka kepada orang ramai! - Syed Azmi

Diterjemah untuk siaran di THEHYPEMEDIA


About Kerja Kosong

THE HYPE MEDIA ditubuhkan semenjak 2009 berfungsi menyebarkan berita, informasi dan isu-isu viral yang menjadi bualan hangat netizen. Segala komen dan pandangan pengunjung di laman ini, tidak mewakili pendirian kami.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Top