Nasihat saya kepada ibu bapa murid Tahun 1 2016 nanti, pastikan anak-anak anda sudah mahir membaca dan mengenal nombor sebelum melangkah ke Tahun 1, jika tidak mahu anak anda ketinggalan dalam pelajaran Tahun 1.
Zaman sekarang bukan seperti zaman kita-kita dulu. Tak kenal huruf pun cikgu masih ajar a, b, c di Tahun 1 dalam jangka masa yang lama. Zaman sekarang adalah Zaman Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), silibus aras tinggi. Satu kelas ada 38 orang murid, bukannya 18 orang seperti zaman kita dulu. Memang tidak sempat cikgu nak fokus pada seorang demi seorang. Bilangan subjek pula sampai berbelas.
Saringan linus akan dijalankan pada awal tahun dan murid kelas linus yang masih belum pandai membaca dan menulis akan dipilih untuk diletakkan dalam satu kelas khas.
Jadi, bagi memastikan anak-anak kita berada di kelas aliran perdana dan bersaing dengan murid yang lain, kita sebagai ibu bapa juga perlu memainkan peranan. Ajar anak-anak anda di rumah secara individu. Jika pelbagai alasan anda berikan untuk mengajar anak-anak anda, cuba fikir dan bayangkan bagaimana guru mengajar 38 orang murid dalam satu-satu masa.
Cari penyelesaiannya sekarang. Cuba hantar anak ke kelas swasta jika ibu bapa tidak mampu mengajarnya di rumah. Jangan tangguh-tangguh. Kasihan anak-anak anda bila masuk Tahun 1 nanti mereka akan belajar pelbagai subjek. Jangan biarkan mereka merasa rendah diri dan tidak berminat untuk belajar akibat tidak pandai membaca dan menulis.
Pastikan anak-anak anda bersedia dan yakin diri melangkah ke Tahun 1. Tugas anda sebagai ibu bapa adalah membuat persediaan yang sewajarnya untuk anak anda! - Syukri Hidayati
Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA