KUALA LUMPUR - Video rakaman CCTV seorang pemilik kereta menampar pekerja asing yang dipercayai mengotorkan keretanya tersebar di laman sosial.
Video yang berdurasi 2 minit 31 saat itu dilaporkan berlaku pada jam 2.50 petang tadi menunjukkan pemilik kereta berwarna hitam itu berang dengan seorang pekerja car wash yang telah mengotorkan bahagian dalaman keretanya ketika sedang mengelap bahagian cermin depan.
Berdasarkan video, mangsa dilihat tidak melawan dan cuba memujuk lelaki itu agar tidak memanjangkan hal tersebut. Namun gagal apabila lelaki itu mula menamparnya sebanyak 3 kali tanpa mengetahui perbuatannya itu dirakam oleh kamera litar tertutup premis berkenaan.
Menurut sumber, pemilik itu meminta ganti rugi RM1,000 dan enggan membayar kos cuci keretanya kerana marah dengan pekerja tersebut.
Sementara itu netizen pula mengecam tindakan lelaki itu yang dilihat keterlaluan.
"Kalau orang yang betul-betul kaya, tak macam ini perangainya. Ini kaya yang ala-ala kaya. Susah payah nak buat loan nak melaram guna kereta besar. Tetapi pening kepala hutang keliling pinggang. Itu yang menyebabkan dia menjadi begitu," kata Erlina.
"Aduh bro, kalau tak ada duit, jangan pergi car wash. Basuh sendiri di rumahlah. Ini tak ada duit tapi berlagak nak pergi car wash dan minta RM1,000. Tak malu ke? Tak payahlah nak pukul orang, suatu hari nanti akan dibalas balik," kata Mas Farizal.
"Ya Allah, orang itu mencari rezeki yang halal walaupun gaji sikit tetapi kau layan dia macam ni? Lain kali gunalah lengan besar itu untuk cuci kereta sendiri," kata Fatin. - THEHYPEMEDIA