Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5


Walaupun bergelar guru yang garang suatu masa dulu, hati aku terusik dengan kehidupan seorang anak muridku yang berlainan bangsa dan agama kerana kegigihan dan kesabaran hidupnya menempuh cabaran kehidupan dalam usia yang muda. 

Sedikit sebanyak kisahnya menyebabkan mata ini bergenang kerana masih wujud lagikah kisah-kisah seperti ini? 

Anak muridku ini berada di tingkatan 1. Awal tahun ini, aku menjadi guru kelasnya dan mengajarnya bahasa melayu. Kadang kala aku melihatnya melelapkan mata sambil merebahkan kepala di atas meja. Dan setiap kali aku akan mengejutkannya sambil berceloteh mengingatkan pelajar lain agar jangan tidur sewaktu guru mengajar walaupun tahu dia tidak faham apa pun yang aku kata.

Rupa-rupanya guru mata pelajaran yang lain juga menghadapi masalah yang sama.

"Budak ini suka tidur di dalam kelas,"


Apabila sekolah menerima kedatangan ibu bapa untuk mengambil wang bantuan persekolahan RM100, aku adalah orang yang tidak sabar untuk mengenali atau dalam erti kata lain, mencungkil rahsia anak muridku.

Dan ditakdirkan aku berjumpa dengan ibu kepada anak muridku ini yang tutur katanya sangat bersopan. Sempat aku bertanyakan pendapatnya tentang anaknya yang sering tidur di dalam kelas. Jawapan yang aku dengar itulah yang membuatkan aku membisu pada hari itu.

"Cikgu, saya dan bapanya tinggal di hostel pekerja di Ampang. Ayahnya OKU, anaknya seramai 4 orang (murid aku anak yang pertama) ditinggalkan bersama dengan jirannya di Selayang Lama. Mereka akan berjumpa dua minggu sekali," kata ibunya.

Anak muridku inilah yang memandikan adik-adiknya berusia dari 5 tahun ke bawah, memberikan mereka makan sebelum menghantarnya menaiki basikal seorang demi seorang ke sekolah tadika (tempat pembonceng basikal ada satu tempat sahaja). 

Kemudian, dia akan bersiap-siap untuk ke sekolah sesi petang. Balik dari sekolah dia akan menguruskan adik-adiknya sehinggalah mereka melelapkan mata, barulah dia akan tidur. Selalunya dia akan tidur pada jam 11 atau 12 malam. Bangun pagi pula pada jam 5 pagi. Memandangkan dia tinggal bersama jiran, kadang kala dia perlu berulang alik ke kedai membeli barangan. Begitulah rutinnya setiap hari.

Kalau menaiki van dari rumahnya ke sekolah, ibunya perlu membayar RM100 sebulan. Tetapi dia lebih rela berjalan kaki supaya wang itu dapat digunakan untuk adik-adiknya. Sebelum mempunyai basikal, dia berjalan kaki lebih kurang 3 kilometer untuk ke sekolah. 

Aku pernah terjumpa dengannya yang sedang berjalan mengendong beg yang berisi buku dalam panas terik matahari di waktu tengah hari. Aku mempelawanya menaiki kereta tetapi ditolak dengan sopan. Tetapi aku tetap berkeras mengajaknya juga dan akhirnya dia mengalah.

Di dalam kereta, dia hanya mendiamkan diri. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Sejak saat di mana ibunya menceritakan tentang rutin harian hidup anaknya, aku mula muhasabah diri aku sendiri. Kerja-kerja yang sebelum ini sering disungutkan, kenapa anak muridku yang berumur 13 tahun ini mampu menguruskan sendiri keluarganya. Kerana dia tahu itu adalah tanggungjawabnya apabila ibu bapanya bekerja.

Yang paling aku tabik, dia tidak pernah ponteng sekolah. Pada pendapat aku, masa untuknya hanyalah di sekolah dan saat itu dia sering menjejakkan kaki ke rumahnya, masanya hanyalah untuk adik-adiknya. 

Sebagai seorang isteri dan ibu, memang kerja-kerja harian dalam menguruskan anak-anak sangat meletihkan apatah lagi aku adalah ibu yang berkerjaya. Bagaimana dia sebagai seorang budak lelaki boleh memegang perana ibu dan bapanya setiap hari?

Alangkah bertuahnya seorang ibu dan seorang bapa mempunyai anak seperti itu. Dan yang paling menyentuh hati apabila ditanya kenapa tidak pergi rehat, muridku itu hanya menjawab:

"Tak apa cikgu, emak saya belum dapat gaji lagi," katanya.

Luluh hati aku mendengarnya kerana terbayangkan anak-anak. Sejak daripada hari itu, hati aku akan tersentuh setiap kali kelibatnya di sekolah (kecuali dia menganggu PDP) dan setiap kali dia berjumpa dengan aku. Ada sahaja nota yang perlu aku coretkan (latihan rumah sukan, persatuan, badan beruniform, aktiviti-aktiviti sekolah) pada buku nota yang dibawanya untuk ditunjukkan kepada ibunya. - Haqim Marina - THEHYPEMEDIA

About Kerja Kosong

THE HYPE MEDIA ditubuhkan semenjak 2009 berfungsi menyebarkan berita, informasi dan isu-isu viral yang menjadi bualan hangat netizen. Segala komen dan pandangan pengunjung di laman ini, tidak mewakili pendirian kami.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

Top