KUALA LUMPUR - Para penyokong perhimpunan Bersih 4.0 meneruskan rancangan untuk mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara hari ini, sekali gus mengingkari arahan polis supaya ia tidak diadakan kerana tidak sah.
Para peserta perhimpunan itu, yang kebanyakannya berbaju T kuning dan membawa peralatan memaparkan perkataan Bersih 4.0, mula berkumpul di lima kawasan yang ditetapkan iaitu Sogo KL, Pasar Seni, Menara Maybank, Brickfields dan Masjid Negara seawal pukul 11 pagi.
Pada pukul 12.30 tengah hari, sebahagian daripada mereka mula berarak menuju Dataran Merdeka sebaik sahaja selesai raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan.
Penganjur perhimpunan itu gagal mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
DBKL juga tidak memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan disebabkan Dataran Merdeka ditetapkan sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini.
Ada antara peserta perhimpunan haram itu dilihat duduk di pentas bertingkat khas yang didirikan bertentangan dengan Dataran Merdeka untuk menempatkan orang kenamaan semasa berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan, tetapi dinasihatkan penganjur perhimpunan supaya mengosongkan kawasan itu.
Beberapa orang daripada mereka turut membawa bersama kanak-kanak, tindakan yang jelas melanggar Seksyen 20(1) (c) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
Bersih 4.0 dianjurkan oleh kumpulan pembaharuan pilihan raya (Bersih 2.0) yang mendakwa berjuang bagi pilihan raya yang bersih dan bebas, kerajaan yang bersih, hak mengadakan demonstrasi, memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.
Perhimpunan tersebut tidak sah berikutan kegagalan penganjur mematuhi peruntukan dalam PAA.
Demonstrasi haram yang dirancang berlangsung hari ini dan esok telah mengakibatkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk terutama laluan menuju ke pusat bandar. - Bernama