Dalam diam, ada jua yang memerhati umat Islam menjalani bulan ramadan. Di kala kita sibuk dengan bulan ramadan, seorang wanita India bernama Malini Mimie, berasa kagum dan memuji keindahan umat-umat Islam yang berlumba-lumba mendapatkan pahala lebih dan keberkatan hidup.
Bagi Malini yang tinggal di kawasan kampung, dia suka melihat umat Islam berjalan bersama-sama pergi sembahyang terawih di masjid berhampiran.
Baca luahan hati ikhlas Malini Mimie di bawah:
Sempena dengan bulan ramadan ini, apa yang saya gemar lihat ialah rakan-rakan muslim kita pergi sembahyang terawih. Suasana itu kelihatan indah sekali berjalan menuju ke masjid dengan memakai telekung dan jubah.
Di kawasan kampung, saya dapat melihat jiran-jiran muslim berjalan bersama-sama ke masjid selepas jam 8 malam di bulan ramadan ini.
Saya faham bulan ramadan ini penuh dengan dugaan tetapi saya teruja melihat rakan-rakan muslim kita berpuasa.
Apa yang kita boleh buat sebagai orang bukan Islam menyokong mereka?
Kita boleh merancang perjalanan di kala rakan-rakan muslim kita pulang ke rumah dengan memberikan laluan kepada mereka terlebih dahulu agar mereka dapat tiba di rumah sebelum waktu berbuka puasa.
Jika kita berkunjung ke mana-mana restoran dan mendapati rakan-rakan muslim kita tidak mempunyai tempat duduk untuk berbuka puasa, kita boleh menawarkan tempat duduk kepada mereka dulu. Ini supaya mereka selesa untuk berbuka puasa.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan ramadan ini kepada rakan-rakan muslim di luar sana.
Mari kita menghormati ibadah agama masing-masing sebagai mahkluk ciptaan Tuhan untuk menikmati keharmonian hidup bersama-sama. - MALINI MIMIE

