
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, harga barangan naik bukan disebabkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya kerana ada peniaga yang sengaja berbuat demikian kerana mereka menyokong pembangkang.
Ahmad Maslan yang masih trending di media sosial kerana beberapa kenyataan kontroversinya sebelum ini berkata, peniaga 'pro pembangkang' sengaja berbuat demikian agar rakyat marah kepada kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).
“Peniaga-peniaga yang sokong pembangkang tidak akan jayakan inisiatif baik kerajaan BN. Mereka suka ‘sabotaj’ ekonomi negara ini,” katanya melalui status yang dimuat naik di laman Facebook.
Menurut beliau, pelaksanaan GST adalah telus kerana ia dimasukkan dalam resit setiap kali membeli berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak telus kerana ia telah dimasukkan dalam harga barangan yang tidak disedari oleh pengguna di negara ini.
“Rakyat Malaysia tiba-tiba menjadi tambah celik kewangan bermula (1 April). Dulu tidak pernah simpan resit barang-barang yang dibeli, sekarang dibaca, disimpan dan di WhatsApp ke seluruh dunia,” katanya.
Tegasnya, tidak semua barangan dikenakan GST, apabila peniaga yang pendapatan kurang RM500,000 setahun tidak dikenakan GST, malah perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, sewa rumah dan urusan kerajaan juga sifar GST.
Ahmad Maslan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya beliau berhenti bercakap dan menghapuskan GST, kerana tindakan sedemikian akan memberikan kemenangan kepada pembangkang untuk terus merosakkan minda rakyat.
“Saya tidak akan berhenti menjelaskan yang GST lebih baik daripada SST. Anda boleh ikuti penjelasan GST saya dalam twitter ,” katanya.