Sekadar berkongsi pengalaman yang sedikit sebanyak mengajar saya tentang erti kehidupan. Jika kita berasa susah dalam hidup ini, rupa-rupanya ada yang lebih susah dari kita. Kisah ini berlaku ketika saya sedang keluar berdakwah selama tiga hari di sebuah kampung di Puchong, baru-baru ini.
Suatu pagi semasa di masjid tersebut, saya melihat seorang budak lelaki bernama Adam yang datang ke masjid bersama ibu saudaranya untuk mendengar kuliah dhuha.
Adam berusia 9 tahun, tiada apa-apa bezanya Adam dengan budak lain yang sebaya dengannya. Cuma saya lihat di tangannya ada kesan bengkak di beberapa tempat yang sudah berwarna hitam. Apabila ditanya kenapa, Adam kata dia digigit oleh kucing.
"Dah sebulan lebih, tak pergi klinik ke?"
"Tak, hanya sapu ubat saja," jawabnya ringkas.
Hati saya terus tergerak untuk membawanya ke klinik, memandangkan lukanya itu agak pelik sehingga menjadi kehitaman. Sekurang-kurangnya luka di tangan Adam dapat dicuci dan dirawat dengan ubat yang bersesuaian.
Dengan keizinan ibu saudaranya, saya membawa Adam ke sebuah klinik swasta berhampiran. Dalam perjalanan itu, saya juga sempat bersembang dengan Adam. Dia agak bijak dalam berbicara. Katanya, ayahnya telah meninggal dunia kerana sakit jantun ketika dia berusia 4 tahun. Ibunya pula telah melarikan diri meninggalkan dia adik beradik. Kakaknya pula telah berkahwin dan tinggal dengan suaminya. Manakala si abang pula hilang entah ke mana. Maka tinggallah Adam bersama adik lelakinya yang menumpang di rumah ibu saudara.
Allah, betapa besarnya ujianMu buat anak kecil ini.
Setibanya di klinik, doktor agak terkejut melihat kesan gigitan seperti itu. Doktor meminta agar kes Adam ini dirujuk terus kepada pihak hospital kerana khuatir jangkitan kuman di tangan Adam akan sampai ke tulang dan besar kemungkinan tangan Adam perlu dipotong.
Saya serta merta terus membawa Adam kembali ke masjid dan memaklumkan hal ini kepada ibu saudaranya. Dengan persetujuan beliau, saya bercadang membawa Adam ke Hospital Serdang. Namun masalah yang lain pula timbul apabila saya dimaklumkan bahawa Adam tidak mempunyai kad pengenalan kerana bapanya terlambat mendaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara. Ibunya pula warga Indonesia. Jika hendak dihantar ke hospital memang tidak mampu sebab kos rawatan yang agak tinggi perlu dibayar kerana Adam dikategorikan sebagai warga asing.
Difahamkan sebelum ini Adam pernah menjalani pembedahan apendiks dengan kos lebih kurang RM1,000 dengan bantuan ADUN dan Sinar Harian.
"Takpelah, duit boleh dicari. Adam sangat-sangat memerlukan rawatan sekarang," kata saya kepada ibu saudaranya.
Dengan surat pengesahan anak angkat yang ada, saya pun terus membawa Adam ke hospital. Hari itu hari Ahad, setibanya di hospital pada jam 12 tengahari, kami terus ke Jabatan Kecemasan.
Memang benar, Adam hanya boleh didaftarkan sebagai pesakit warga asing dengan bayaran RM65.
Saya sempat melihat senarai harga rawatan bagi warga asing. Kos X-Ray saja sudah mencecah ratusan ringgit. Hati saya mula risau kerana bimbang duit tidak mencukupi. Kad kredit pula tidak diterima pada hari hujung minggu seperti ini.
Setelah darahnya diambil, kami menunggu selama sejam untuk mengetahui keputusan darah dan pemeriksaan doktor.
"Adam lapar ke?"
"Ya, lapar," jawabnya.
Lalu saya membawanya makan tengahari di kafe hospital sementara menunggu giliran.
Selesai solat Zohor, kami kembali semula ke Bahagian Kecemasan. Rupa-rupanya nombor kami telah dipanggil sejak setengah jam yang lalu. Kami terpaksa menunggu sehingga doktor memanggil kami.
Tiba giliran kami, doktor yang memeriksa juga agak khuatir apabila melihat kesan gigitan di tangan Adam.
Lalu Adam disuruh menjalani X-Ray di tangannya. Kami terus ke Jabatan X-Ray.
Selepas menunggu beberapa ketika, seorang jururawat memanggil kami untuk dibawa bertemu dengan doktor tulang di wad kecemasan. Di situ, tiga hingga empat doktor kelihatan sedang berbincang sesama diri mereka mengenai masalah Adam.
Sekali lagi Adam disuruh menjalani X-Ray di bahagian kaki kerana ada luka yang sama di kakinya.
"Huh.. berapalah agaknya kos X-Ray nanti," soalan itu bermain di fikiran saya.
Setelah beberapa ketika, akhirnya doktor membuat keputusan untuk menahan Adam di wad. Dan sepanjang hari ini juga saya jenuh menjelaskan kepada pihak hospital yang saya tiada kaitan keluarga dengan Adam. Doktor, jururawat dan kakitangan hospital berulang kali bertanyakan hubungan saya dengan Adam dan setiap kali itulah saya terpaksa mengulang cerita sejak saya berjumpa dengan Adam.
Ini kerana mereka ingin tahu siapa yang akan menanggung kos rawatan perubatannya nanti. Takkanlah orang yang tidak dikenali akan menanggung kos tersebut memandangkan ianya agak tinggi.
Walau bagaimanapun saya tetap meminta agar rawatan untuk Adam diteruskan. Biarlah, saya yakit dan pasti Allah akan permudahkan usaha untuk membantu anak yatim ini.
Memandangkan doktor sudah membuat keputusan untuk menahan Adam di wad, maka saya diminta menguruskan pendaftaran masuk wad di kaunter. Apabila saya ke kaunter, kakitangan di kaunter menunjukkan kepada saya jumlah wang yang perlu dibayar.
Ujian darah dan X-Ray hari ini RM162. Deposit untuk masuk wad pula RM1,200.
Terkejut juga dengan amaun yang banyak itu. Dua tiga kali saya terpaksa berulang dari wad kecemasan ke lobi hospital tempat di mana letaknya mesin ATM. Hampir semua duit sendiri dan bukannya duit sendiri (hutang) terpaksa dikeluarkan daripada ATM.
Setelah selesai pembayaran, akhirnya pada jam 6 petang Adam didaftarkan di wad 5B Hospital Serdang. Saya fikir, biarlah Adam dibawa sendiri oleh kakitangan hospital ke wad. Bolehlah saya kembali ke masjid setelah hampir 7 jam di sini. Rupa-rupanya jururawat meminta saya menemankan Adam ke atas, bimbang jika doktor ingin bertanyakan sesuatu. Maka saya pun menemani Adam ke wad. Tiba di sana, sekali lagi soalan yang sama diajukan kepada saya mengenai hubungan dengan Adam dan jawapan yang sama juga saya berikan.
"Habis, siapa yang akan menemani Adam nanti? Ini wad kanak-kanak. Setiap pesakit perlu ditemani oleh ibu atau warisnya,"
Saya tidak dapat memberikan jawapan.
Bila Adam diberikan sebuah katil di bilik yang menempatkan lima pesakit, Adam terus duduk di atas katilnya. Hati ini terus menangis melihat pesakit di katil yang lain ditemani oleh ibu dan dikelilingi ramai saudara mara yang datang menziarahi. Tetapi Adam pula hanya berseorangan di katil.
Mujur jiran-jiran sebelah sudi menghulurkan buah dan biskut untuk Adam setelah saya menceritakan serba sedikit mengenai dia. Akhirnya, dengan hati yang berat saya tinggalkan Adam berseorangan di hospital. Dalam perjalanan pulang, air mata itu tidak mampu dibendung lagi.
"Ya Allah, kalau inilah harga bagi SyurgaMu, aku akan redha walau sebanyak mana pun yang kau akan ambil dariku,"
Tiba di masjid Puchong, saya terus meminta orang tempatan menunjukkan rumah Adam bagi memaklumkan keadaannya. Setibanya di rumah Adam, hati menjadi lebih saya melihat kediaman mereka yang agak kecil. Ibu saudara Adam rupanya ibu tunggal yang mempunyai tiga anak Down Syndrom yang perlu dijaga selain Adam dan adiknya.
"Patutlah dia tidak mampu nak bawa Adam ke hospital. Banyak lagi tanggungan yang dia perlu uruskan rupanya,"
Saya memaklumkan keadaan Adam kepadanya. Sebak bila dia memberitahu tentang Adam. Tidak sampai hati saya nak maklumkan kepadanya bahawa hampir RM1,500 telah saya belanjakan untuk rawatan Adam hari ini.
Saya serahkan kembali surat pengesahan anak angkat yang saya pinjam tadi dan ingin segera meninggalkan rumah itu kerana semakin lama saya berada di situ, semakin sebak rasanya. Jadi saya meminta agar ibu saudaranya yang umur hampir mencecah 65 tahun itu dapat menghantar barang-barang keperluan Adam pada malam itu juga.
Kalau tiada yang sanggup hantarkan, saya bersedia untuk membantu. Namun dia menolak kerana anak saudaranya yang baru sampai boleh tolong hantarkan. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih dalam tangisan.
"Allah, apalah sangat kesukaran yang saya hadapi hari ini jika dibandingkan dengan penderitaan yang dialami oleh Adam,"
Perasaan bangga dalam hati dengan usaha sebegini tidak mampu timbul tatkala memikirkan tentang emosi Adam berseorang di hospital.
Esoknya, saya datang menjenguk Adam. Menurut jururawat, Adam masih lagi di bawah pengawasan doktor pakar tulang. Setakat ini Adam hanya diberikan antibiotik untuk melihat sejauh mana keberkesanannya kepada Adam. Harap Adam cepat sembuh. Saya rasa terlalu berat untuk menerima hakikat jika tangan Adam perlu dipotong.
Rasanya bebanan emosi yang dialaminya sudah cukup berat untuk insan kecil sepertinya. Akhirnya saya tinggalkan Hospital Serdang untuk kesekian kalinya. Tidak pasti apakah saya boleh menjenguk Adam lagi selepas ini.
Inilah pengajaran yang paling berkesan untuk hati saya sepanjang hidup ini. Moga Allah jadikan ianya asbab untuk kita semakin hampir kepadaNya. Selamat tinggal Adam. Kalau ada rezeki kita jumpa lagi ya.
Hasil temubual dengan Adam:
Bersekolah darjah 3 Zuhal di Sekolah Kebangsaan Hicom, Seksyen 27 Shah Alam. Guru kelasnya bernama Cikgu Fikri.
Ibu saudara yang menjaganya, Makcik Rokiah: 012 3634025
Nombor akaun CIMB 8002606825 (Rokiah binti Othman)
Selepas masukkan duit sumbang, hubungilah Makcik Rokiah dan maklumkan kepadanya.
Rumah mereka terletak di Kampung Tengah Batu 13 Puchong.
Sumber: Tuan Azrin
Ditulis semula untuk siaran semula di THEHYPEMEDIA



