KUALA LUMPUR - Video seorang pelajar perempuan dirasuk hantu tersebar di laman sosial dan mencetuskan tanda tanya netizen.
Video berdurasi 2 minit 20 saat itu didakwa berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras baru-baru ini.
Dalam video tersebut, pelajar terbabit kelihatan berlegar di beranda bangunan sekolah, menendang pintu kelas dan memecahkan beberapa tingkap kelas berkenaan.
Menurut saksi, pelajar terbabit juga memegang sebilah gunting dan mengacukannya kepada seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Menurut sumber yang lain, kejadian ini berlaku pada minggu lalu.
"Perempuan ini satu kelas dengan adik saya. Memang betul-betul berlaku pada minggu lepas. Bukan buat-buat dan ada ustaz di sekolah dah selamatkan pelajar ini selepas video ini dirakam.
"Sepatutnya video ini tak boleh disebarkan sesuka hati seperti ini. Ini dah kira mengaibkan dia dan sekarang cikgu sekolah memang tengah mencari siapa perakam dan penyebar video ini," katanya.
Namun, dilaporkan dua guru lelaki berjaya menenangkan pelajar terbabit sebelum polis tiba di tempat kejadian. - THEHYPEMEDIA.COM