SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki daripada diculik oleh tiga lelaki di Jalan Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 pagi itu, mangsa ke padang berhampiran rumahnya untuk mengutip batu bagi memenuhi tujuan aktivitinya di sekolah.
Namun, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 20-an yang datang menaiki van, menarik tangannya dengan kuat.
Ibu mangsa, Aini, 30, berkata, ketika anaknya cuba bergelut dengan lelaki itu, datang pula seorang lelaki bermotosikal berusia 30 tahun membantu mangsa.
Menjelaskan kejadian awal, Aini hanya mengetahui perkara itu setelah mendengar jeritan anaknya, Alia Syarina Elika binti Kamarolnizam, yang meminta tolong.
"Dia sedang mengutip batu untuk aktiviti harian persekolahannya. Ketika sedang asyik mengutip batu di kawasan padang, datang seorang lelaki Melayu dalam lingkungan umur 20-an yang tidak dikenali menghampirinya lalu menarik lengan tangannya dengan kuat. Alia terus menendang kaki lelaki itu dan tendangan itu pula dibalas semula oleh lelaki itu ke arah lutut sebelah kiri.
"Dalam beberapa pergelutan kecil, seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 30-an cuba menolong Alia tetapi dihalang oleh dua lelaki India yang menaiki kenderaan jenis van dengan mengacukan parang ke arah lelaki itu.
"Di kesempatan itu, Alia terus melarikan diri ke arah saya yang berada di dalam rumah bagi meminta pertolongan.
"Saya keluar ke hadapan rumah dan mendapati van yang dikatakan itu sudah tiada. Saya mengesyaki ini adalah perbuatan jenayah sindiket penculikkan bagi menculik anak saya," katanya yang telah membuat laporan polis.
Orang ramai dinasihat agar tidak membiarkan anak masing-masing berkeliaran di luar rumah tanpa pengawasan orang dewasa. Pastikan anak-anak sentiasa bersama dan ambil tahu pergerakan mereka. - THEHYPEMEDIA.COM