Wawancara bersama dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem yang disiarkan secara langsung oleh RTM 1 menjadi bualan hangat warga Sarawak di laman sosial.
Mana tidaknya, segala tutur kata beliau yang 'selamba' serta diselitkan dengan sedikit unsur-unsur lawak jenaka tetapi tegas dengan apa yang diperkatakan itu, membuka mata anak-anak Sarawak sekali gus menyokong penuh kenyataan beliau.
Antara intipati wawancara bersama beliau:
- Orang Sarawak tak suka bayar tol.
- Habis kayu balak di Sarawak dicuri, namun royalti tak pernah dinikmati.
- Netizen boleh berkata apa saja mengenai Sarawak sama ada betul atau sebaliknya. Namun beliau bersetuju bahawa Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat juga ada pemimpin kaki pembohong. Menjadikan rakyat Sarawak harus matang dan berfikiran terbuka.
- Walaupun seseorang itu memihak kepada pembangkang, dia tetap anak Sarawak. Dan sebagai Ketua Menteri Sarawak, dia tetap akan mendengar masalah rakyat.
- Jangan sesekali mengelar kaum Cina sebagai 'pendatang'. Adenan Satem mengakui bahawa generasi pertama kaum Cina di Malaysia memang pendatang, tetapi jika dilahirkan di Sarawak, dia adalah Anak Sarawak.
- Ekstrimis dari Tanah Malaya tidak akan diterima atau dibenarkan masuk ke Sarawak. "Pulang ke negeri ko empun!" katanya dalam bahasa Sarawak.
- Tiada lagi lesen pembalakan atau tanah untuk peladang.
- Mengulas mengenai masalah kekurangan guru di Sarawak, Adenan Satem berkata, mana-mana guru Sarawak yang berkhidmat di luar Sarawak disarankan balik mengajar di negeri bumi kenyalang itu kerana mereka lebih memahami masalah penduduk di negeri ini. Bukan seperti sesetengah guru dari Tanah Melayu yang hari-hari mengadu mahu balik ke tempat sendiri. Jika bilangan tenaga pengajar masih tidak mencukupi, Adenan akan menambah lagi bilangan guru Sarawak.
Wawancara Ketua Menteri Sarawak itu juga turut mendapat perhatian serta sanjungan dari Mufti Perlis, Dr. Maza.
"Saya baru sahaja menonton siaran langsung bersama Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Hj Satem, Ketua Menteri Sarawak.
"Saya kagum dengan sifat keterbukaan, keberanian dan merakyat beliau. Semangat beliau untuk menghapuskan salahguna kuasa dan pencurian balak dihormati.
"Sikap beliau dalam isu-isu kaum dan agama lebih berwajah pemimpin sebuah negara Malaysia yang pelbagai kaum, budaya dan agama.
"Ciri-ciri pemikiran orang seperti ini berkualiti memimpin negara seperti Malaysia," katanya melalui laman Facebook DrMAZA.com.

